Langgar mati pelajar: DSP polis dibawa kenderan cermin gelap, dikawal ketat - Utusan Malaysia

Langgar mati pelajar: DSP polis dibawa kenderan cermin gelap, dikawal ketat

KENDERAAN bercermin gelap dipercayai dinaiki pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar lelaki tingkatan lima keluar selepas selesai prosiding di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) yang didakwa membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, dibawa ke Kompleks Mahkamah Ipoh di sini hari ini dengan  dikawal ketat.

Kehadiran tertuduh, Mohd. Nazri Abdul Razak, 44, bagi menghadiri prosiding kes berkenaan diiringi lima anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang lengkap memakai topeng muka dan berpakaian gelap.

Bagaimanapun, waktu ketibaan sebenar Mohd. Nazri ke mahkamah tidak dapat dipastikan ekoran tertuduh dipercayai telah berada di dalam bangunan mahkamah tanpa pengetahuan pengamal media.

Keadaan itu menghampakan pihak media kerana gagal merakam kelibat tertuduh ekoran mereka telah menunggu di kawasan pintu pagar utama yang menjadi aluan keluar masuk ke mahkamah.

Pada prosiding pendakwaan tersebut, Mohd. Nazri  berbaju T berwarna putih dan berseluar hitam dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah dalam keadaan bergari dan kepala ditutup menggunakan kain hitam.

LIMA MINIT

Prosiding pendakwaan terhadap pegawai polis itu berlangsung  lima minit dan dia kelihatan tenang ketika kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Selepas selesai prosiding, tertuduh dibawa keluar dengan pantas dan dikawal ketat menaiki kenderaan bercermin gelap dengan diiringi empat kenderaan lain.

Pekarangan mahkamah turut dibanjiri dengan kehadiran saudara dan rakan-rakan mangsa yang hadir sebagai tanda solidariti terhadap ketelusan siasatan kes itu.

Lebih 30 wartawan dan jurugambar dengan sebahagiannya berkumpul di mahkamah seawal jam 7.30 pagi bagi memastikan tidak terlepas membuat liputan kes yang mendapat perhatian umum itu.

Terdahulu, Mohd. Nazri mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 12.05 hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya