KYPJ terima rekod MBOR, himpunkan 810 syair - Utusan Malaysia

KYPJ terima rekod MBOR, himpunkan 810 syair

EDWIN YEOH TIONG CHIN (dua dari kiri) menyerahkan sijil MBOR kepada Haslinda Abu Bakar sambil diperhatikan oleh Husaini Mokhlas (kanan) yang menunjukkan buku syair di Hotel New York, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menghimpunkan 810 syair dalam buku Kumpulan Syair Putera Puteri Hujung Medini.

Pengurus Besar Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ), Husaini Mokhles berkata, buku tersebut dihasilkan oleh para pelajar berusia antara 13 hingga 19 tahun dari 78 sekolah menengah di negeri ini bertujuan untuk memastikan bidang penulisan tradisional terus malar segar dalam kalangan generasi muda.

“Penerbitan buku ini mendedahkan generasi muda dengan bentuk penulisan yang mampu membangunkan pemikiran aras tinggi selain menyuntik rasa cinta terhadap warisan puisi tradisional Melayu.

“Kita percaya usaha ini akan bantu anak-anak muda untuk bangkit dan kekalkan warisan dan budaya bangsa, khususnya dalam bidang seni penulisan secara lebih holistik.

“Pengiktirafan MBOR terhadap usaha ini merupakan satu penghargaan terhadap usaha dijalankan KYPJ dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta semua sekolah terlibat,” katanya pada Majlis Pengiktirafan MBOR kepada KYPJ di Hotel New York, di sini hari ini.

Sijil MBOR itu diserahkan wakilnya, Edwin Yeoh Tiong Chin kepada Ketua Eksekutif KYPJ, Haslinda Abu Bakar.

Husaini berkata, pengisian syair yang dikumpulkan bertujuan melahirkan rasa kecintaan kepada raja, pemimpin, negeri, daerah serta sekolah masing-masing selain nukilan syair peribadi.

“Usaha ini telah dimulai sejak 20 Oktober lalu sebelum dikumpulkan menerusi ‘Google Form’ antara 2 hingga 15 November lalu.

“Kesemua syair yang diterima disunting dan diselenggara penggiat puisi Melayu moden yang terkenal, Mohd. Rosli Bakir dan Norhaida Ahmad,” jelasnya.

Sementara itu, Haslinda memberitahu, buku berkenaan akan dicetak dalam skala besar sebelum diedar ke sekolah-sekolah dan perpustakaan di negeri ini untuk rujukan generasi akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya