Kuala Krai mula dilanda banjir

Kuala Krai mula dilanda banjir

BEBERAPA kawasan di Kuala Krai, Kelantan mula ditenggelami banjir sejak awal pagi tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Hujan lebat sejak malam tadi menyaksikan beberapa kawasan di jajahan ini mula ditenggelami banjir.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penduduk di beberapa kawasan seperti di Kampung Sepuluh, Kampung Chenulang, Kampung Bukit Arang dan Kampung Chuchuh Puteri mula berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat.

Penduduk Kampung Bukit Arang, Mohd. Azeezul Mustapha, 30, berkata, mengambil kira situasi cuaca semasa dia kini sudah bersiap sedia untuk berpindah jika paras air terus naik.

Menurutnya, ketika ini bahagian dapur rumah sudah ditenggelami banjir sedalam 0.3 meter dan segala persiapan sudah dilakukan sejak awal bulan lalu lagi.

“Air di pekarangan rumah saya mula dinaiki air sehingga 0.5 meter awal pagi ini susulan hujan lebat sejak semalam.

“Kami sudah biasa dengan keadaan ini dan semua persiapan sudah dilakukan termasuk mengemas barangan rumah dan dokumen penting,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Tok Siak Masjid Mukim Chenulang, Mohd. Adnan Mat Husin berkata, hujan lebat yang berterusan lebih tujuh jam sejak malam tadi menyebabkan tingkat bawah Masjid Mukim Chenulang sudah ditenggelami air akibat limpahan sungai berkenaan.

“Selepas jemaah selesai menunaikan solat Isyak malam tadi, pekarangan masjid mula dinaiki sehingga memenuhi tingkat bawah setinggi lebih satu meter.

“Saban tahun ketika musim tengkujuh serta hujan yang berterusan akan menyebabkan bahagian bawah bangunan masjid dua tingkat ini akan digenangi air berikutan limpahan air sungai,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, empat buah kampung di sekitar Bukit Sireh, di sini terputus hubungan selepas laluan keluar masuk ke kawasan berkenaan dinaiki air sejak awal pagi tadi.

Kampung tersebut ialah Kampung Nal, Kampung Pasir Era, Kampung Pok Jelok dan Kampung Bedal.

Seorang penduduk Kampung Pok Jelok, Mohd.Shahrin Amrul Marizam, 30, berkata, dia tidak dapat pulang ke rumah selepas laluan utama di kawasan berkenaan telah dinaiki air sedalam 0.5 meter.

Katanya, dia telah pulang kerja lebih awal dari biasa untuk menggelakan terkandas di laluan itu, namun gagal apabila air naik begitu cepat ekoran hujan yang berterusan sejak semalam 

“Jadi, saya terpaksa menunggu sehingga jalan ini boleh dilalui semula memandangkan saya perlu balik untuk menyimpan barang-barang di rumah sebelum ia ditenggelami air,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya