KSAS: Kelantan tambah dua jawatankuasa lihat maklum balas

KSAS: Kelantan tambah dua jawatankuasa lihat maklum balas

MOHAMED Fadzli Hassan (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik Pelancaran RKK Bandar Baru Tunjong di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menambah dua jawatankuasa untuk melihat semua maklum balas dan maklumat dalam menyediakan laporan mengenai cadangan untuk mengubah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan dari setiap jawatankuasa dilantik selepas proses publisiti dan penyertaan awam berhubung cadangan mengubah KSAS baru sahaja ditutup.

“Kita baru sahaja menutup proses publisiti dan penyertaan awam dan beberapa jawatankuasa akan melihat semua maklum balas serta maklumat yang diterima.

“Saya dimaklumkan akan ada tambahan dua jawatankuasa yang akan menyediakan laporan mengenai cadangan mengubah KSAS ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Baru Tunjong di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu, setiap laporan yang akan diserahkan oleh semua jawatankuasa terbabit akan diteliti dan dinilaikan kembali sebelum dibentangkan oleh pihak kerajaan negeri.

Katanya, proses itu akan mengambil sedikit masa dan sepanjang tempoh tersebut tidak akan ada seberang tindakan daripada kerajaan negeri mengenai cadangan mengubah KSAS.

“Cadangan mengubah KSAS sebenarnya sangat penting dalam usaha kerajaan negeri menjaga alam sekitar dan pada masa sama mahu memanfaatkan sumber mineral di kawasan-kawasan terlibat.

“Kerajaan negeri bukan mahu menghapuskan kawasan tadahan air atau hutan simpan kekal melalui cadangan tersebut tetapi mahu mengenal pasti kawasan yang betul-betul menepati definisi KSAS.

“Tempat takungan air dan hutan simpan kekal kita tidak sentuh. Itu sudah pasti. Cuma kita mahu memastikan kawasan yang betul-betul dikatakan KSAS,” ujarnya.

Mohamed Fadli berkata, melalui kajian yang dijalankan Kerajaan Negeri boleh kenal pasti kawasan yang betul-betul menepati definisi KSAS.

“Kawasan yang tidak menepati malah sebenarnya bukan KSAS kita boleh keluarkan dan ambil manfaat daripadanya,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya