Kren tumbang: 40,000 pengguna ETS, KTM Komuter terjejas  - Utusan Malaysia

Kren tumbang: 40,000 pengguna ETS, KTM Komuter terjejas 

Perkhidmatan tren ETS dan komuter terjejas akibat kren tumbang atas langsan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 40,000 pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membabitkan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang laluan KL Sentral – Tanjung Malim – KL Sentral terjejas selepas mengalami gangguan akibat sebuah kren pembinaan projek parkir bertingkat tumbang di Stesen Rawang, semalam.

Dalam kejadian pukul 5.53 petang itu, kren yang digunakan dalam pembinaan projek parkir tersebut dikatakan mengalami masalah apabila tanah di lokasi kejadian tiba-tiba mendap mengakibatkan jentera tersebut condong ke arah landasan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, insiden tersebut mengakibatkan bahagian atas kren tersebut patah dan jatuh menimpa kabel elektrik (overhead line) di kedua-dua arah sekali gus menyebabkan ia terputus.

Menurutnya, kejadian mengakibatkan bekalan elektrik di beberapa stesen KTM membabitkan perkhidmatan ETS dan Komuter termasuk tren kargo terjejas.

“Kejadian mengakibatkan perkhidmatan tren elektrik ETS dan KTM Komuter Lembah Klang di laluan Kl Sentral – Tanjung Malim – KL Sentral serta tren kargo mengalami gangguan dan kelewatan melebihi dua jam.

LOKASI

“Malam tadi pasukan kita sudah pun ke lokasi untuk menyiasat punca sebenar kejadian dan hari ini mereka akan menemu bual individu-individu yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Mohd. Rani berkata, susulan kejadian itu, pengurusan KTMB telah mengaktifkan bilik gerakan bencana pada petang semalam bagi melakukan kerja-kerja membaikpulih kerosakan dialami.

Katanya, kakitangan KTMB telah melakukan isolasi bekalan elektrik di laluan terjejas kerana terdapat banyak kejadian litar pintas berlaku sebaik kabel di lokasi kejadian terputus.

“Selain litar pintas, bekalan elektrik dari stesen Rawang dan Kepong Sentral juga terputus, jadi kami mengambil pendekatan memendekkan isolasi tersebut hanya membabitkan stesen Kuang dan Rawang sahaja.

“Tindakan itu diambil bagi memastikan kawasan tersebut selamat untuk kerja baikpulih yang dijangka selesai dalam jangka masa 24 jam dari sekarang,” katanya sambil memberitahu perkhidmatan tren kargo diberhentikan sementara waktu.

Mengulas lanjut, Mohd. Rani berkata, beliau dan seluruh pengurusan KTMB memohon maaf kepada semua pengguna dan pelanggan perkhidmatan ETS, KTM Komuter serta tren kargo akibat masalah tersebut.

PENUMPANG

Pada masa sama, beliau berkata, penumpang yang memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan dengan KTMB boleh menghubungi pengurusan bagi mendapatkan semula pemulangan tambang tiket melalui KTMB-wallet.

“Akibat insiden itu, seramai lebih 10,000 pengguna ETS dan KTM Komuter terjejas semalam manakala kami jangkakan lebih 30,000 lagi pengguna turut terjejas hari ini kerana proses membaikpulih masih lagi dijalankan.

“Kerja membaikpulih sedang giat dilaksanakan bagi pemasangan kabel terputus, penggantian komponen rosak dan proses pengujian bekalan elektrik di lokasi terjejas sebelum kembali beroperasi seperti sedia kala.

“Kita jangkakan semua proses tersebut siap dalam jangka masa 24 dari sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya