KUANTAN: Kopi Saigon milik DAZ Group Resources di Indera Mahkota 7 di sini menyediakan peruntukan berjumlah RM50,000 sebagai persediaan bagi membantu mangsa terjejas banjir di daerah ini.
Ia selaras konsep ‘Tiada Hari Tanpa Sedekah’ yang menjadi matlamat outlet itu bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
Pengurus DAZ Group Resources, Dinie Amirah Zuhairi, 32, berkata, bantuan barangan keperluan asas seperti beras, gula dan lain-lain keperluan diperlukan mangsa ketika musibah merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kopi Saigon Indera Mahkota 7.
“DAZ Group Resources hari ini meluluskan peruntukan RM50,000 untuk bantuan barangan keperluan asas kepada mangsa terjejas banjir khusus di daerah Kuantan sahaja.
“Ini kerana berdasarkan situasi Monsun Timur Laut (MTL) pada ketika ini, daerah ini dijangka berlaku banjir,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dinie Amirah yang berkelulusan Ijazah Pengurusan Perniagaan berkata, sejak dibuka pada September lalu, Kopi Saigon Indera Mahkota 7 mendapat sambutan menggalakkan dari peminatnya di daerah ini.
“Hasilnya, Kopi Saigon Indera Mahkota 7 milik DAZ Group Resources dapat menyediakan peruntukan ini bagi melaksanakan program CSR untuk membantu mangsa terjejas banjir.
“Terima kasih diucapkan kepada semua pelanggan yang tidak putus-putus hadir bagi memberikan sokongan kepada Kopi Saigon Indera Mahkota 7,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, hasil sokongan yang memberangsangkan tersebut, DAZ Group Resources kini dalam proses bagi membuka satu lagi outlet Kopi Saigon di daerah ini.
“Outlet di Indera Mahkota 7 ini adalah yang pertama, kita sudah pun membuat permohonan untuk membuka premis kedua. Insya-Allah berkat sokongan semua, ia dapat direalisasikan tahun ini,” katanya. – UTUSAN