PETALING JAYA: Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham tampil memohon maaf dan menarik balik cadangannya melantik pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam.
Beliau mengakui tidak mempunyai niat untuk mencampuri urusan hal ehwal Islam dan hanya membuat cadangan tersebut supaya jawatankuasa itu mengambil kira pandangan semua pihak.
“Sekarang sudah jelas jawatankuasa khas ini ditubuhkan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) diketuai Sultan Selangor yang tidak saya sedari sebelum ini.
“Saya dengan ini menarik semula cadangan tersebut dan membuat permohonan maaf, saya tiada niat untuk mencampuri urusan hal ehwal agama Islam,” katanya dalam kenyataan.
Koo Ham sebelum ini menyarankan kerajaan supaya melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.
Beliau menjelaskan, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Namun, cadangan Koo Ham menimbulkan kecaman daripada beberapa pemimpin Melayu antaranya UMNO dan pembangkang.
Malah, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya orang bukan Islam tidak masuk campur dan menghormati urusan hal ehwal Islam.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pula berkata, cadangan Koo Ham itu suatu kekhilafan dan partinya menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor selaku pengerusi MKI dalam membuat keputusan.- UTUSAN