KOTA TINGGI: Penduduk di Felda Bukit Aping Barat, dekat ini bimbang apabila tular dalam media sosial penemuan kesan tapak kaki dipercayai ‘pak belang’ di kawasan tersebut.
Justeru, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Maznah, 34, berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan sesuai demi keselamatan orang ramai.
“Penduduk Felda yang ke kebun agak bimbang dengan keselamatan masing-masing.
“Kami khuatir serangan harimau seperti di Gua Musang, Kelantan yang mengorbankan beberapa nyawa turut berlaku di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penemuan kesan tapak kaki yang dipercayai harimau itu tular dalam media sosial Facebook sejak semalam sehingga mendapat perhatian ramai.
Sementara itu Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin mengesahkan pihaknya menerima aduan tentang perkara itu dan sedang menjalankan siasatan.
“Kita akan siasat dahulu perkara itu sama ada benar berlaku di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN