Kerajaan peruntuk RM20.32 juta untuk projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan

Kerajaan peruntuk RM20.32 juta untuk projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan

MOHD. Nassuruddin Daud (dua kiri) menyaksikan penyerahan dokumen Projek Pelaksanaan Segera Menangani Runtuhan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi,  Pasir Mas, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM20.32 juta untuk Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pengkalan Pasir di sini.

Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek yang melibatkan jarak 350 meter itu bertujuan mengatasi masalah hakisan tebing Sungai Kelantan yang berlaku di kampung berkenaan.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu nanti mampu melindungi keselamatan kira-kira 100 penduduk daripada berdepan ancaman hakisan tebing sungai dan kerugian harta benda.

“Komponen utama projek ini melibatkan pembinaan batu armour, pembinaan sistem saliran, membuang struktur penahan tebing sedia ada dan membaik pulih kerosakan jalan akibat kerja-kerja tersebut,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan NERCC Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri pada 

Majlis Penyerahan Projek Pelaksanaan Segera Menangani Runtuhan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Nik Nazmi memberitahu, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan kerja-kerja kecemasan sepanjang fasa Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Katanya, peruntukan itu sebagai tanda keprihatinan dalam kesiapsiagaan menghadapi MTL.

“Sebanyak 174 kerja-kerja kecemasan luar jangka yang melibatkan skop memulihkan sistem saliran, perparitan, memulihkan jalan, jambatan dan struktur kawalan banjir untuk pelbagai daerah telah dilaksanakan.

“Ia bertujuan mengurangkan risiko sekiranya berlaku banjir kepada penduduk di negeri ini. Kementerian dan Jabatan sentiasa komited dalam memastikan semua pelaksanaan projek dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta peningkatan ekonomi Kelantan,” ujarnya.

Mengenai projek di Kampung Pohon Celagi, Nik Nazmi berkata, ia melibatkan perbelanjaan berjumlah RM64.25 juta telah diserahkan kepada Kerajaan Kelantan.

“Projek tindakan segera ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memastikan keselamatan nyawa dan harta benda penduduk serta premis di kawasan sekitar, ekoran satu kejadian 17 Februari 2021,” katanya.

Utusan Malaysia 17 Februari 2021 lalu melaporkan,  15 keluarga di Jalan Pohon Celagi diarah untuk mengosongkan rumah masing-masing selepas tebing Sungai Kelantan berhampiran kediaman mereka runtuh.

Sekurang-kurangnya empat rumah ranap akibat terhumban ke bawah cerun dalam kejadian tersebut.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya