KOTA BHARU: Kelantan FC menutup saingan musim ini dengan rekod buruk apabila menjadi ‘lauk’ selepas dibelasah 2-6 oleh Kelantan United pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan The Red Warriors (TRW) menjadi pasukan pertama yang mencatatkan rekod bolos terbanyak dalam saingan dalam sejarah Liga Malaysia dengan 121 gol sekali gus menghuni tangga tercorot di carta Liga Super.
Beraksi di laman sendiri, TRW lebih dahulu membuat kejutan apabila membuka jaringan seawal minit ke-13 melalui rembatan jarak dekat Muhammad Afif Jazimin Mohd. Yusoff.
Minit ke-26, Muhammad Afif Jazimin mengukuhkan kedudukan Kelantan FC dengan menjaringkan gol kedua.
Tiga minit berselang, Kelantan United menjarikan kedudukan menjadi 1-2 apabila Muhamad Hafiy Haikal Ismail menjaringkan gol pertama Sang Kijang Hijau selepas menanduk masuk hantaran lintang dari Mohd. Syazwan Zainon dan keputusan itu kekal hingga tamat babak pertama.
Kelantan United yang mahu menutup saingan Liga Super musim ini dengan kemenangan membuat tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Indra Putra Mahayuddin, Ismaheel Akinade dan S. Sharvin bagi merapatkan jurang jaringan.
Percaturan berani Nazrulerwan Makmor membuahkan hasil apabila Sharvin mengikat kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-49.
Akinade meletakan Kelantan United dihadapan apabila meledakan jaringan ketiga pada minit ke-59 sekali gus mengembalikan semula moral pasukan untuk memburu kemenangan.
Kem Kelantan United terus bersorak gembira pada minit ke-75 apabila Sharvin meledakan gol keempat Sang Kijau Hijau seterusnya menambah koleksi jaringan kedua peribadi pada perlawanan malam ini.
Royizzat Daud menambah derita Kelantan FC dengan menjaringkan gol kelima pada minit 90+1.
Penyerang veteran Indra Putra melengkapkan malam gemilang Kelantan United dengan gol keenam sebelum wisel penamat ditiup.-UTUSAN