KUALA KRAI: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun menerima lebih 30 jahitan selepas digigit seekor kera liar dalam kejadian di Kampung Melati, Jalan Jirat Cina, di sini semalam.
Kejadian pukul 2 petang itu menyebabkan mangsa Che Muhammad Harith Maliq Abdul Rahman cedera teruk dibahagian kaki kanan, perut dan belakang badan kesan gigitan haiwan liar berkenaan.
Jirang mangsa, Che Hasmani Che Mat, 51, berkata, semasa kejadian dia sedang menyiapkan makanan tengah hari sebelum dikejutkan dengan teriakan kuat daripada rumah kanak-kanak berkenaan.
Menurutnya, terkejut dengan teriakan itu dia terus berlari ke rumah mangsa yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja sampai, saya lihat badan Che Muhammad Harith sudah dipenuhi dengan darah keadaannya yang sedang mengerang kesakitan ketika itu.
“Selepas itu, Norzila Mat Zin, 33, terus membalut anaknya dengan sehelai kain dan membawa Che Muhammad Harith ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini petang tadi.
Che Hasmani memberitahu, sebelum kejadian Che Muhammad Harith berada di kawasan rumah sambil makan cekodok pisang sementara Norzila ke tandas.
Katanya, selang beberapa minit kemudian Norzila terdengar jeritan dan terkejut mendapati Che Muhammad Harith sudah gigit haiwan liar berkenaan.
“Di sini terdapat lebih 30 ekor kera yang berkeliaran. Lagipun, kawasan ini berhampiran dengan bukit.
“Selain itu, rumah Norzila berhampiran dengan kawasan semak sekali gus menjadi tumpuan haiwan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu Utusan Malaysia dimaklumkan, kanak-kanak berkenaan sudah berada dalam keadaan stabil.-UTUSAN