Kanak-kanak ekori ibu naik tangga rumah hilang - Utusan Malaysia

Kanak-kanak ekori ibu naik tangga rumah hilang

ZAYN Rayyan Abdul Matiin dipercayai dibunuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang hilang ketika bermain di taman permainan di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini semalam dilihat kali terakhir memasuki ke kawasan belukar berhampiran kediaman tersebut. 

Ibunya, Ismanira Abdul Manaf, 28, berkata, ada kanak-kanak lain di kawasan tersebut mendakwa ternampak anaknya memasuki  belukar yang  terletak kira-kira 100 meter dari blok kediamannya.

Ismanira Abdul Manaf

 

“Susulan itu, pihak polis dengan unit anjing pengesan (K9) dan bomba telah melancarkan pencarian dalam kawasan tersebut namun tiada  jejak ditemukan. 

“Bagaimanapun, naluri saya kuat mengatakan dia (Zayn Rayyan) masih berada di kawasan Damansara Damai ini, dia tidak akan pergi jauh mungkin dia tersalah masuk rumah orang,” katanya ketika ditemui pemberita di Damansara Damai di sini hari ini. 

Sebelum kejadian, Ismanira yang bekerja sebagai kerani berkata,  dia mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah kira-kira pukul 12.30 tengah hari, semalam. 

MERAGAM

Katanya, sebaik tiba di kawasan perumahan anak sulung daripada dua beradik itu secara tiba-tiba meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan. 

“Saya turuti permintaannya dan menunggu dia bermain buaian selama beberapa minit sebelum memujuknya naik ke rumah kerana saya perlu memasak serta menyiapkannya untuk dihantar ke rumah pengasuh.

“Ketika menaiki tangga, saya memegang barang basah yang baru dibeli dan beg sekolah sementara Zayn menuruti saya dari belakang.

“Namun selepas beberapa langkah saya memanggilnya, dia tidak menjawab dan apabila saya toleh lihat dia sudah tiada,” katanya. 

Jelas Ismanira, dia berpatah semula untuk mencari anaknya itu di taman permainan dan di belakang blok rumahnya namun gagal ditemukan. 

Dia turut berharap orang ramai dan pihak media menwar-war kehilangan Zayn Rayyan dapat tersebar luas.

“Saya juga akan cuba ikhtiar secara Islam melalui solat hajat untuk mencari Zayn Rayyan. 

“Dia tidak pernah lepas daripada saya dan suami sebelum ini. Saya bimbang keselamatan Zayn kerana dia tidak pernah berseorangan dan hanya boleh menyebut mummy, daddy,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN