PONTIAN: Sekumpulan pekerja yang membersihkan Sungai Pontian Kecil di bawah Jambatan Kampung Parit Selangor, dekat sini dikejutkan dengan penemuan sebutir bom dipercayai peninggalan Perang Dunia kedua, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, bom jenis Hand Grenade Spl HGR 79 berukuran 57 milimeter itu dalam keadaan berkarat, namun dipercayai masih aktif.
Ekoran penemuan tersebut, pasukan Unit Pemusnah Bom dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dikejarkan ke lokasi kejadian diketuai oleh Sarjan Mohammad Nazri.
“Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) telah memeriksa sekitar kawasan penemuan tetapi tiada menjumpai sebarang objek lain disyaki bahan letupan.
“Sebagai langkah keselamatan, UPB telah membawa balik bom tersebut ke bilik simpanan sementara sebelum dimusnahkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Bom tersebut telah dibawa ke Ladang United Pineapple Malaysia di Pekan Nanas untuk dimusnahkan bersama UPB dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, tengah hari semalam.
Mohammad Shofee meminta orang ramai sekiranya menjumpai objek yang mencurigakan atau dipercayai bom dapat melaporkan segera di mana-mana balai polis berhampiran.
“Diingatkan supaya jangan diusik, dialih atau digerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” katanya. – UTUSAN