SEREMBAN: Jualan kit ujian kendiri kembali melonjak susulan peningkatan semula kes jangkitan Covid-19 di negara ini.
Seorang pemilik kedai farmasi di Rasah, Leong Kee Lai, 31, berkata, permintaan terhadap kit ujian kendiri Covid-19 itu meningkat sejak lebih dua minggu lalu.
Jelasnya, ada waktunya 100 kotak kit tersebut boleh habis terjual dalam tempoh empat hari sahaja.
“Saya mula jual sejak pandemik Covid-19 berlaku di negara ini, namun selepas pandemik ini reda, kit ujian kendiri ini kurang laku.
“Bagaimanapun, dua ke tiga minggu kebelakangan ini, kit ini laku kembali dan kami juga sentiasa memastikan stok sentiasa ada di farmasi untuk dibeli pelanggan.
“Masa pandemik dulu pernah juga kit ini terputus bekalan, namun buat masa ini, kami masih mudah untuk dapatkan bekalan dari pembekal. Kami akan sentiasa mengikuti perkembangan Covid-19 di negara ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam pada itu, Kee Lai berkata, walaupun pemakaian pelitup muka belum diwajibkan semula namun dia mengambil langkah penjagaan mewajibkan setiap pekerja memakai pelitup muka semasa di dalam farmasi.
“Kalau daripada segi penjualan pelitup muka, masih tidak ketara, namun dari segi penjualan ubat batuk, sakit tekak dan demam, memang sebelum Covid-19 kembali meningkat dan banyak permintaan berikutan influenza,” katanya lagi.-UTUSAN.