Johor kaji laluan khas di KSAB sempena pelaksanaan SFZ - Utusan Malaysia

Johor kaji laluan khas di KSAB sempena pelaksanaan SFZ

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH (dua dari kiri) dan K. Raven Kumar (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas dari Forest City ke Tuas, Singapura di Hotel Marina Forest City, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan mengkaji kemungkinan mewujudkan laluan khas di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) ekoran pengumuman pelaksanaan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, usaha itu dibuat bagi memastikan pergerakan keluar masuk di LinKedua berkenaan lancar, termasuk ketika waktu puncak.

Walau bagaimanapun, katanya, kajian mendalam perlu dibuat terlebih dahulu bagi membolehkan pihaknya mengenal pasti kaedah pelaksanaan terbaik.

“Antara isu dihadapi di KSAB adalah kesesakan akibat bas pelancongan yang bertembung dengan kenderaan pengembara harian, khususnya ketika waktu puncak, hujung minggu atau musim cuti.

“Ekoran pengumuman Forest City sebagai SFZ, memang kita ada buat kajian untuk mewujudkan laluan khas, namun kita perlu asingkan pengembara harian  dan pengembara mingguan, perlu ada kajian lebih sikit,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan bas dari Forest City ke Tuas, Singapura di Hotel Marina Forest City, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar dan Timbalan Presiden Forest City, Ir. Syarul Ihzam Sarifudin.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli turut memberitahu pelaksanaan laluan kontra melibatkan kereta awam di KSAB dijangka akan mula dilaksanakan hujung tahun ini.

“Pada waktu ini kita sudah ada laluan kontra bas, manakala laluan kontra kereta pada tahap 99 peratus siap, ia akan dilaksana pada waktu puncak untuk mengelak kesesakan trafik di KSAB,” jelasnya.

Sementara itu, Syarul Ihzam memberitahu, perkhidmatan bas antara Forest City ke Tuas merupakan kolaborasi pihaknya dengan Handal Indah Sdn. Bhd.

“Inisiatif ini terhasil disebabkan adanya potensi dan permintaan penggunaan perkhidmatan bas untuk ke Singapura. Ketika ini kira-kira 9,000 penghuni di Forest City dan ada antara mereka berulang setiap hari kerana bertugas di Singapura.

“Komuniti yang bekerja di Singapura bukan sahaja menghuni di Forest City, malah di kawasan sekitarnya seperti Gelang Patah dan Pontian. Dengan kemudahan yang ada di Forest City, kita lihat ia sebagai satu peluang untuk memudah cara pergerakan mereka dari Johor ke Singapura,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya