Jenazah tiga beranak maut kemalangan di Lipis selamat dikebumikan

Jenazah tiga beranak maut kemalangan di Lipis selamat dikebumikan

MOHD. Azman Mat Yaacob (kiri) mengiringi jenazah Muhammad Hariz Adrian untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Pintu Gerbang, Bachok, Kelantan petang tadi.-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta, Pahang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Pintu Gerbang, di sini petang tadi.

Terdahulu, jenazah ketiga-tiga mangsa itu disolatkan di Masjid Telok Kemunting, Tawang, sebelum dikebumikan di dalam satu kubur kira-kira pukul 6.30 petang.

Koperal Mohd. Azman Mat Yaacob,36, dilihat tidak henti-henti mengalirkan air mata semasa mengiringi arwah isteri, Nor Faizah Ridzuan, 34, bersama anaknya, Muhammad Hariz Adrian,10, dan anak angkat, Muhammad Hafiy Azman Abdullah, 3.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun turut hadir menziarahi tanah perkuburan dan ahli keluarga mangsa.

Sepupu kepada Nor Faizah, Zubairi Mohd. Ghani, 40, berkata, arwah sebelum ini meminta bantuan untuk memandu kenderaannya dengan membawanya bersama dua anak dari Petaling Jaya, Selangor untuk pulang ke kampung.

Menurutnya, bagaimanapun, dia membatalkan perancangan itu kira-kira pukul 6 petang semalam dengan memaklumkan akan pulang ke kampung bersama rakannya

“Arwah kemudiannya menghantar WhatsApp kepada saya dengan mengatakan dia sudah bertolak balik dengan dua anaknya.

“Saya sepatutnya menaiki bas dari Bachok pada pukul 8.30 malam tadi sebelum memandu kenderaannya dan pulang bersama-sama ke kampung hari ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zubairi memberitahu, dia pada awalnya berasa bimbang kerana arwah sebenarnya kurang cekap memandu kerana baru sahaja mendapat lesen memandu.

Katanya, sebelum ini, arwah Nor Faizah akan menghubunginya setiap kali mahu pulang ke kampung dan dia akan menaiki bas ke Petaling Jaya sebelum balik bersama-sama.

“Selepas perancangan tidak terjadi, saya berada di rumah seperti biasa. Semasa sedang tidur, saya dikejutkan dengan berita kejadian yang menimpa arwah dan tiga anaknya kira-kira pukul 4 pagi,” katanya.

Utusan Malaysia melaporkan, dua kanak-kanak dan ibu maut dalam kemalangan jalan raya pada awal pagi melibatkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta di sini awal pagi hari ini.

Mangsa yang maut dalam kemalangan pukul 2.25 pagi hari ini, pemandu kereta jenis Perodua Alza, Nor Faizah Ridzuan, 34, beralamat di Berek Polis Kok Lanas Ketereh, Kelantan, manakala dua kanak-kanak merupakan seorang anak pemandu, Muhammad Hariz Adrian Mohd. Azman, 10, dan seorang lagi anak angkatnya, Muhammad Hafiy Azman Abdullah berusia tiga tahun.

Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepala dan dada, manakala pemandu lori, Wan Osman Wan Hussin tidak mengalami sebarang kecederaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya