KUALA PILAH: Jenazah penyanyi era 1980-an, Allahyarham Ibnor Riza Ibrahim, 62, selamat dikebumikan pada pukul 10.40 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasau, Tengkek, di sini.
Lebih 200 orang hadir mengiringi penyanyi itu ke persemadian terakhirnya termasuk dalam kalangan ahli keluarga, saudara mara, penduduk kampung serta rakan-rakan artis.
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di pekarangan Masjid Tunku Alif Hussein Al-Amin. Kariah Kampung Tengkek kira-kira 8.30 malam.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM Cheras pada pukul 3.30 petang tadi.
Pada 2 Disember lalu, Allahyarham menjalani pembedahan di hospital itu bagi membuang air pada bahagian kanan kepala susulan kanser limfoma dihidapinya sudah merebak ke bahagian otak.
Ibnor Riza bagaimanapun tidak sedarkan diri selepas pembedahan dijalankan. Kemudian, dia sekali lagi menjalani pembedahan selepas terdapat pendarahan pada bahagian kepalanya pada Rabu lalu.
Sementara itu, isteri pertama Allahyarham, Norhayati Mohamad Nor, 58, berkata, mereka sekeluarga sudah pun berada di hospital kerana dimaklumkan oleh doktor keadaan kesihatan suaminya itu yang sudah semakin merosot.
“Pada pertengahan bulan lalu Allahyarham mula demam tidak sembuh-sembuh sehinggalah pada 2 Disember lalu dia ditidurkan dan pada Jumaat lalu doktor sahkan sel otaknya telah mati, katanya.
Menurutnya, dia sudah pun 20 hari berada di sini bagi menemani arwah kerana baru menjalani pembedahan di bahagian perut.
Katanya, madunya yang merupakan isteri kedua Allahyarham, Sarimah Sulaiman, 51, menjaga Ibnor Riza sementara menunggu dirinya dibenarkan ke Malaysia dari Brunei.
“Alhamdulillah, ada hikmah, apabila dia sakit bergilir-gilir kami menjaganya,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga sememangnya sudah dimaklumkan oleh pegawai perubatan pada 29 Jun lalu mengenai arwah yang hanya mempunyai jangka hayat enam bulan.
Sementara itu, rakan artis, Ameng Spring menyifatkan negara kehilangan seorang penyanyi pop yang baik manakala Datuk Hattan pula menyifatkan pemergiaan Ibnor Riza sebagai kehilangan besar dalam industri seni negara.
Allahyarham Ibnor Riza memulakan kejaya seninya pada 1984 dengan menyertai pertandingan Bintang RTM. Allahyarham juga merupakan seorang kakitangan kerajaan namun bersara awal kerana memilih untuk menumpukan kerjaya seninya pada 1993.
Antara lagu yang terkenal dendangan Allahyarham adalah Mimpi Tak Sudah, Meneka Dalam Kesamaran, Berdiri Seorang Perindu dan Suka Terluka Merindu Pula.-UTUSAN.