Imam Masjid Kerambit peroleh RM1,200 jual seekor patin Ara 14kg - Utusan Malaysia

Imam Masjid Kerambit peroleh RM1,200 jual seekor patin Ara 14kg

MOHD. NAWI Samah (kanan) dan Shafie Ibrahim mengangkat ikan patin ara seberat 14 kilogram di Kampung Kerambit di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Imam masjid Kampung Kerambit di sini mendapat rezeki lumayan apabila memperoleh RM1,200 hasil jualan seekor ikan patin ara seberat 14 kilogram (kg) yang berjaya dipancing di Sungai Jelai berdekatan Kampung Tanjung Buloh kira-kira pukul 7 pagi hari ini.

Imam berkenaan, Mohd. Nawi Samah, 60-an, berkata, selepas selesai mengimamkan solat Subuh di masjid, dia pulang ke rumah dan bermotosikal ke Kampung Tanjung Buloh kira-kira tiga kilometer dari Kampung Kerambit di sini.

“Selepas solat Subuh, rutin harian saya terus ke Sungai Jelai untuk melihat ‘arai’ (mata kali yang disangkut umpan buah ara, kemudiannya diikat batu besar dan diturunkan ke kawasan lubuk sungai) jika ada rezeki ikan liar yang tersangkut.

“Saya menaiki bot gentian kaca menuju ke kawasan lubuk yang dalam dan andaian saya betul apabila melihat arai sudah mengena dan kocakan air di bawah menandakan ikan besar yang jarang diperoleh sebelum ini,” katanya di Kampung Kerambit di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nawi, apabila tali arai ditarik ke atas, rupa-rupanya seekor ikan patin bersaiz besar bergumpal di permukaan air cuba melepaskan diri daripada mata kail.

“Tidak tergambar perasaan syukur dan gembira sambil menaikkan ikan patin atau panggilan bagi nelayan sungai di kampung tersebut sebagai ‘patin ara’ kerana spesies liar itu suka makan buah ara yang banyak tumbuh di tebing Sungai Jelai,” katanya.

Dia berkata, setibanya di pekan Kerambit dengan bantuan rakan, Shafie Ibrahim, ikan patin tersebut terus ditimbang dan mendapati beratnya 14 kilogram.

“Mengikut pasaran di kampung ini, ikan patin ini dijual RM127 sekilogram, tetapi saya cuma menjual dengan harga RM1,200 seekor kepada pelanggan berbanding harga sebenar RM1,778. Apapun saya bersyukur dengan rezeki pada hari ini yang jarang diperoleh oleh nelayan Sungai Jelai di sini.

“Hasrat untuk menggenggam wang hasil jualan ikan yang bermutu tinggi ini agak cepat kerana tanpa menunggu lama ada seorang penduduk yang berminat untuk membeli ikan ini. Jadi, tidak sampai 10 minit ikan ini terlepas ke tangan pembeli dengan kadar harga tersebut,” katanya.

Mohd. Nawi berkata, dia pernah memperoleh ikan patin saiz dan berat yang sama tiga bulan lalu, manakala ikan patin dan spesies liar lain bersaiz kecil kerap ditangkap dengan menggunakan jala dan jaring.

Sementara itu, Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JKKK) Putu berkata, ikan patin yang ditangkap di Sungai Jelai antara ikan liar yang bermutu tinggi dan harganya juga mahal mampu dibeli oleh orang tertentu sahaja.

Ujarnya, walaupun harganya tinggi berbanding ikan liar lain, namun ikan patin sungai tetap menjadi pilihan penggemar serta sanggup berhabis wang untuk menikmati isi yang lazat apabila dimasak asam tempoyak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya