Ibu rayu bantu cari anak hilang - Utusan Malaysia

Ibu rayu bantu cari anak hilang

NORHIDAWATY Mohd. Yusof menunjukkan gambar Nurul Syakila yang hilang ketika ditemui pemberita di Kampung Sungai Layang, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang ibu kini bimbang terhadap keselamatan anak perempuannya yang tidak dapat dikesan selepas 20 hari dilaporkan hilang dari kediaman mereka di Kampung Sungai Layang, di sini.

Norhidawaty Mohd. Yusof, 43, berkata, dia menyedari kehilangan anaknya, Nurul Syakila Mohd. Suhaili, 23, yang tiada di bilik pada pukul 10 pagi, 11 Disember lalu.

Menurutnya, kebiasaannya dia akan sampai ke rumah sekitar pukul 8 pagi selepas pulang dari kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej berdekatan.

Bagaimanapun pada hari itu, dia telah singgah ke pasar terlebih dahulu namun apabila tiba di rumah dan mahu bersarapan anaknya itu tiada di bilik.

Tambah Norhidawaty, bekas suaminya ada menghubungi bekas tempat kerja anaknya itu di sebuah resort di Karak, Pahang dan memaklumkan Nurul Syakila ada menghubungi pihak resort berkenaan,

“Pihak resort maklumkan, anak saya ada menghubungi mereka untuk memaklumkan tidak jadi berhenti kerja dan akan pulang ke sana namun sekali lagi dia menghubungi pihak resort dan memaklumkan kekal mahu berhenti kerja sebelum telefon bimbitnya gagal dihubungi. 

Kami sekeluarga berasa sangat bimbang, kerana sehingga kini kami tidak tahu di manakah Nurul Syakila,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ujar Norhidawaty lagi, anaknya itu baharu sahaja beberapa hari putus pertunangan sebelum meminta pihak keluarga menjemputnya pulang ke rumah.

Oleh itu menurutnya, dia memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai anaknya untuk menghubungi nombor telefonnya iaitu 018-2092842 atau bekas suaminya, Mohd. Suhaili Mad Sari, 46, di talian 019-5995090.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad sebelum ini berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan Nurul Syakila di Balai Polis Rembau pada 12 Disember lalu dan kini sedang mengesan wanita berkenaan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya