RANTAU PANJANG: Seorang ibu hampir pengesan selepas melihat anak tunggalnya berusia 15 bulan ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam takungan air banjir di Taman Rantau Baru di sini, hari ini.
Sejurus ditemukan dan selamat dibawa naik ke darat, Nabila Che Muda, 21, dilihat berkali-kali mencium jenazah anak lelakinya itu dalam keadaan penuh sebak.
Nabilah berkata, sebelum kejadian dia sedang membersihkan premis perniagaan milik saudaranya bersama anaknya Firdaus Mohd. Faizal.
Menurutnya, ketika sedang tekun melakukan tugas itu secara tiba-tiba Firdaus hilang dari pandangan.
“Saya terus mencarinya di belakang kedai dan terkejut melihat tangan anak sudah terkapai-kapai dalam air banjir itu.
“Sekelip mata selepas itu, Firdaus hilang daripada pandangan,” katanya ditemui pemberita di sini hari ini.
Nabilah memberitahu, sebelum kejadian anaknya itu sempat menciumnya beberapa kali.
Katanya, sifat Firdaus yang begitu manja mendapati petanda dia akan pergi buat selamanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Pegawai Bomba Kanan I, Syamsul Faizal Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.21 tengah hari.
Katanya, mayat mangsa ditemukan tidak jauh dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
“Mayat kanak-kanak berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN