Henti bertelagah, fokus lahirkan pemimpin Melayu jujur, adil - Sheikh Umar - Utusan Malaysia

Henti bertelagah, fokus lahirkan pemimpin Melayu jujur, adil – Sheikh Umar

Sheikh Umar Bagharib Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Orang Melayu negara ini perlu berhenti bertelagah susulan kenyataan Tan Sri Lim Kit Siang kemungkinan bukan Islam boleh menjadi Perdana Menteri pada masa depan, sebaliknya memberi fokus dalam melahirkan pemimpin yang kompeten dan berintegriti.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali mendakwa, kenyataan dibuat veteran DAP itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan orang Melayu tidak perlu risau kerana perlembagaan telah menetapkan garis yang jelas berkaitan hak Melayu, Islam serta semua kaum di negara ini.

“Untuk orang Melayu, isu paling utama adalah mencari jalan melahirkan pemimpin Melayu yang jujur, adil, berintegriti serta mampu melonjakkan ekonomi negara. Malaysia harus bangkit lebih tinggi dan menjadi negara disegani, bukan bertelagah tentang kenyataan Lim Kit Siang.

“Jangan sampai pemimpin Melayu dan Islam berdegar-degar dengan slogan, sedangkan negaranya mundur dan papa kedana. Ekonomi merudum, rakyat tidak dilayan dengan adil dan ini hanya memalukan serta mencemarkan nama baik Melayu dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, pandangan Kit Siang hanya suatu penegasan tentang apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan sejak sekian lama.

“Kepada pemimpin Melayu yang tersinggung, lebih baik fokus melahirkan pemimpin yang kompeten, berintegriti dan benar-benar mampu mentadbir negara dengan baik serta adil untuk semua.

“Ingatlah pesan Imam Al-Ghazali yang menyebut betapa sebuah kerajaan yang adil walaupun diperintah oleh pemimpin bukan Islam akan mampu bertahan, berbanding kerajaan zalim walau dipimpin oleh orang Islam,” katanya.

Baru-baru ini, Kit Siang yang juga bekas Setiausaha Agung DAP mengeluarkan kenyataan kontroversi yang kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri di negeri ini pada masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya