Graduan USIM perlu pimpin masyarakat lebih beretika dalam perubahan teknologi - Utusan Malaysia

Graduan USIM perlu pimpin masyarakat lebih beretika dalam perubahan teknologi

TUANKU Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan menyampaikan titah ucapan pada pembukaan Majlis Konvokesyen USIM Ke-21 di Dewan Tuanku Canselor USIM di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) perlu berada di baris hadapan dalam memimpin masyarakat supaya lebih beretika terhadap perubahan teknologi masa kini termasuk dalam kemajuan teknologi kecerdasan buatan atau AI.

Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bertitah, potensi dan cabaran yang datang pada masa ini adalah daripada AI.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kepesatan teknologi buatan manusia ini akan menjadi sebahagian daripada hidup kita malah ada kalanya kita tidak boleh hidup tanpa bantuan teknologi.

“Namun begitu, perlu ada keseimbangan antara kemajuan AI dengan pemeliharaan maruah, kasih sayang dan pembangunan rohani. Kemajuan teknologi akan meningkatkan kemampuan manusia, tetapi bukannya menggantikan manusia secara total.

“Beta berharap graduan USIM dapat memimpin masyarakat dalam membangunkan pendekatan yang lebih beretika terhadap perubahan teknologi,” titah baginda pada Pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-21 USIM di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai di sini hari ini. 

Turut berangkat, Pro-Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz. 

Yang hadir sama, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani. 

Bertemakan Graduan USIM Pemangkin Masyarakat Madani, seramai 3,146 orang graduan daripada 89 program pengajian diraikan dalam majlis konvokesyen tersebut yang berlangsung bermula hari ini sehingga 15 Disember ini.

Sementara itu, titah baginda lagi, USIM telah melahirkan graduan yang memberikan impak kepada komuniti setempat, masyarakat dan ummah. 

“Kini graduan USIM bukan sahaja menjadi figura awam tetapi juga berjaya menjadi job creators dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain. Graduan USIM telah membuktikan bahawa ilmu, kemahiran dan nilai yang digarap di universiti berjaya diaplikasi dalam dunia kerjaya dan kehidupan. 

“Pencapaian ini selaras dengan Anjakan 1 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang. Kecemerlangan warga USIM turut terserlah melalui sumbangan dalam meningkatkan kualiti hidup komuniti, khususnya di Negeri Sembilan,” titah baginda. 

Pada majlis itu, Tuanku Aishah turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat kepada Dr. Yousef Abdul Latif Jameel yang diwakili anaknya Omar Jameel. 

Penganugerahan Profesor Emeritus turut diberikan kepada Prof. Datuk Dr Mustafa Hanefah dari Fakulti Ekonomi Muamalat (FEM) dan Prof. Dr Abdul Samat Musa dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) serta Prof. Emerita kepada Prof. Datin Dr. Che Illina Che Isahak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya