Gigih bekerja di ladang sawit, tukang kayu bagi tampung perbelanjaan pengajian - Utusan Malaysia

Gigih bekerja di ladang sawit, tukang kayu bagi tampung perbelanjaan pengajian

MUHAMMAD Safwan Zaidi berkongsikan kegembiraan bersama ibunya selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-21 di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tidak mahu terlalu bergantung dengan keluarga bagi menanggung perbelanjaan sepanjang pengajiannya, membuatkan Muhammad Safwan Zaidi, 23, gigih melakukan kerja buruh secara sambilan.

Kegigihan itu berbalas apabila dia kini bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu selepas memperolehnya pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ke-21 di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai di sini hari ini.

Anak sulung daripada tiga orang adik beradik dan berasal dari Felda Chemomoi, Bentong Pahang itu berkata, dia merasakan perlu melakukan sesuatu pekerjaan bagi menampung perbelanjaan di kampus supaya tidak terus dihimpit dengan masalah kewangan.  

“Bila ditolak dengan duit yuran daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tinggal baki RM1,700 untuk saya sepanjang satu semester.

“Saya pada waktu itu merasakan jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan saya di kampus. Pada tahun 2019, ketika pandemik melanda, dan saya tidak dapat pulang ke kampus, saya cuba mencari inisiatif sendiri untuk menambah pendapatan. 

“Ditambah pula dengan ajakan rakan-rakan sekampung yang pada waktu itu ramai bekerja di ladang, saya juga mula bekerja dan mengambil upah menuai kelapa sawit, melapah lembu; menjaga lembu dan kambing malah menjadi tukang kayu di sebuah kedai perabot di Bangi, Selangor ketika cuti semester apabila dapat kembali semula di kampus,” katanya ketika ditemui.

Muhammad Safwan berkata, sepanjang bekerja secara sambilan melibatkan empat pekerjaan yang berlainan itu, dia mampu meraih sekurang-kurangnya sebanyak RM5,000.

“Alhamdulillah, dapatlah sedikit sebanyak menampung perbelanjaan saya di kampus termasuklah duit minyak kereta, duit makan dan minum, tanpa bergantung harap kepada ibu bapa. 

“Saya sebenarnya malu meminta duit daripada keluarga dan bagi saya selagi boleh saya akan berusaha sendiri yang sebenarnya memberi kepuasan diri.

“Ternyata, apa yang saya lakukan ini memberi semangat kepada diri untuk terus berdikari dan bukan mudah untuk mencapai kesenangan tanpa kesusahan dialami,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang guru.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya