Generator rosak punca gangguan bekalan - Exco - Utusan Malaysia

Generator rosak punca gangguan bekalan – Exco

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH (tengah) berbincang dengan wakil JKR Johor berkaitan insiden CIQ BSI bergelap ekoran gangguan bekalan elektrik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Insiden gangguan bekalan elektrik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) adalah disebabkan salah sebuah generator mengalami kerosakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, gangguan bekalan yang menjejaskan operasi di pintu sempadan utama negara itu kerana ketika ini bangunan tersebut hanya menerima bekalan daripada satu punca.

“Pagi tadi berlaku sedikit kekecohan di CIQ BSI khususnya apabila dewan laluan pejalan kali berlaku ‘black out’ rentetan kerja-kerja penyelenggaraan yang dibuat Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kerja itu dijadual bermula pukul 8 malam sehingga 4 pagi.

“Sewaktu kerja-kerja dimulakan, ketujuh-tujuh set generator beroperasi dengan baik, walau bagaimanapun satu daripadanya rosak kira-kira pukul 11 malam sehingga berlaku ‘total shutdown’ pada pukul 2 pagi sebelum bekalan elektrik kembali pulih pada pukul 9.30 pagi.

“Walaupun sistem e-Gate tidak berfungsi dalam tempoh itu, tetapi sembilan kaunter laluan kontra beroperasi dengan baik dan berjaya menyuraikan pengembara,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohamad Fazli berkata, insiden berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan pergerakan keluar masuk pengembara di premis berkenaan ekoran beberapa laluan lain yang telah tersedia sebelum ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya dan TNB serta Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sedang mengkaji laluan punca bekalan elektrik baharu untuk dijadikan alternatif bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.

“Kita akan mengambil beberapa langkah penambahbaikan bagi memastikan insiden ini tidak berulang, antaranya dengan melakukan ‘running test’ terhadap semua set generator berserta beban penggunaan, berbanding prosedur sedia ada yang dibuat tanpa beban penggunaan. Selain itu, pihak berwajib juga akan mengkaji laluan punca bekalan elektrik baharu, khususnya bagi premis berkenaan. Insya-Allah sekiranya penambahbaikan jangka masa panjang ini dibuat, perkara sama tidak akan berulang,” jelasnya sambil memaklumkan set generator yang rosak itu akan diperbaiki.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan insiden tersebut sebagai amat memalukan dan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan premis berkenaan merupakan laluan masuk utama di selatan tanah air.

Terdahulu, pengguna laluan tersebut mengadu dalam media sosial apabila CIQ BSI mengalami gangguan bekalan elektrik selama lebih 12 jam.

Mereka mendakwa insiden itu menyebabkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa berbaris panjang dan lebih lama kerana proses urusan pasport terpaksa dilakukan secara manual. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya