KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap seluruh masyarakat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ahli-ahli majlis berganding bahu dan bekerja kuat dalam menjayakan agenda Kelantanku Bersih.
Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, perkara itu penting bagi mencapai hasrat menjadikan Kelantan sebuah negeri yang bersih berteraskan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
Menurutnya, peruntukan RM12.8 juta perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh PBT dalam merancakkan lagi aktiviti-aktiviti kebersihan pada tahun hadapan.
“Saya juga berharap agar Bayaran Kumpulan Wang Perkhidmatan Kemajuan (ISF) Fasa 1 kepada PBT negeri Kelantan berjumlah RM3,173,329.06 dapat diperuntukkan antaranya untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan masing-masing.
“PBT juga perlu tegas dalam menguatkuasakan undang-undang melibatkan kebersihan terutama di pusat pembuangan sampah dan tempat tumpuan pelancong,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2023 di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu memberitahu, kempen Kelantanku Bersih adalah agenda yang sangat penting dalam memastikan Kelantan dikenali sebagai negeri bersih dari sudut kepimpinan, pentadbiran dan kehidupan rakyat.
“Kita sedia maklum bahawa negeri ini bakal menjalankan kempen Tahun Melawat Kelantan 2024 dan menyasarkan kunjungan seramai 10 juta pelawat. Saya tegaskan aspek kebersihan, keindahan dan keceriaan negeri menjadi kunci utama kejayaan kempen ini.
“Suka saya ingatkan rakyat agar menjadikan kebersihan sebagai budaya dan amalan seharian kerana ia merupakan tuntutan dalam agama Islam,” ujarnya.-UTUSAN