KUALA LUMPUR: Bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan atau FLYsiswa bertujuan membantu pelajar fokus pembelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana tujuan utama pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi adalah untuk menimba ilmu dan bukan memikirkan isu-isu lain.
“Zaman kami dulu nak balik kena tidur lapangan terbang sebab tidak mampu bayar tiket penuh, (jadi perlu) beli student pass , (tapi) kena standby (kalau) ada kerusi kosong baru boleh balik. Kadangkala tidur dua malam di lapangan terbang.
“Jadi kita tidak mahu keadaan itu dilalui oleh anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika beruap merasmikan Majlis Pelancaran FLYsiswa di Auditorium Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya, di sini.
Inisiatif FLYsiswa dipersetujui Jemaah Menteri pada 12 Julai dan mula dilaksanakan pada 15 Ogos melalui kaedah pemberian baucar digital bernilal RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembelian tiket penerbangan bagi laluan-laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Selain pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPT), pelaksanaan inisiatif ini turut diperluaskan kepada pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi serta pelajar Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru
PENERBANGAN
Pelaksanaan FLYsiswa mendapat kerjasama syarikat-syarikat penerbangan utama negara seperti Malaysia Airlines Berhad, Air Asia dan Batik Air. Satu portal khas diwujudkan untuk memudahcara penempahan tiket menggunakan baucar FLYsiswa secara atas talian yang boleh diakses di laman sesawang https://subsidiudara.mot.gov.my.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pelajar hari ini yang mendapat pelbagai kemudahan bagaimanapun diharap masih berdaya tahan bagi menghadapi kepayahan dan cabaran dalam kehidupan
Katanya, daya tahan itu penting untuk memastikan generasi muda mampu dan boleh bersaing.
“Yang penting sekali fokus kepada pengajaran kita sebab negara memerlukan mereka yang berilmuan, berkemahiran dan bersahssiah tinggi.
“Untuk bersaing dengan dunia penuh mencabar, kita kena pastikan sumber manusia kita adalah mereka yang berintegriti serta berkemahiran.
“Apatah lagi, hari ini untuk memulihkan negara kita dengan ekonomi baharu dan ini semua memerlukan kepakaran yang baharu.
“Jadi harapan kita generasi muda di pengajian tinggi menimba ilmu secukupnya supaya dapat mengisi ruang untuk kembangkan ekonomi kita dalam bidang-bidang baharu,” katanya.- UTUSAN