"Empat tahun ini kita buat untuk rakyat, tahun akhir kita perang semula" - Utusan Malaysia

“Empat tahun ini kita buat untuk rakyat, tahun akhir kita perang semula”

RIDZUAN Ahmad sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023 pada hari kedua, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diharapkan supaya dapat memberikan peruntukan sama rata termasuk kepada lima orang wakil rakyat pembangkang di negeri ini.

Ridzuan Ahmad (PN-Gemas) yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkata, mungkin terdapat perbezaan pandangan di antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang namun masing-masing tetap bersama bekerja demi memajukan negeri.

“Apa salahnya, jika tidak dapat beri sepuluh, berilah tujuh, jika tidak dapat tujuh berilah lima. Lima tahun ini kita memacu Negeri Sembilan bersama-sama, negeri ini negeri contoh, kita jangan tunjukkan permasalahan, perselisihan pendapat kita, kita jadikan negeri ini negeri yang terlatih, beradab dan beradat, kita mulakan dari Negeri Sembilan.

“Apa maknanya, daripada 36 DUN, Datuk Seri (Aminuddin Harun) hanya handal di 31 DUN sahaja, kita buat bersama-sama, tahun akhir nanti kita berperanglah kembali, empat tahun ini kita buat untuk rakyat, beri beras sama rata, bantuan banjir sama rata,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023 pada hari kedua, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ridzuan memberitahu, beliau bersama empat orang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkan di negeri ini dapat mengadakan pertemuan dengan Aminuddin bagi membincangkan mengenai perkara itu.

“Kami berharap dapat berjumpa Datuk Seri, kami lima orang ini tidak hilang rasa hormat kepada Datuk Seri, tidak luntur juga luak sebarang kehebatan Datuk Seri sebagai ketua eksekutif untuk kerajaan Negeri Sembilan, apa salahnya mendengar,” katanya lagi.

Selepas pembentukan kerajaan Negeri Sembilan hasil gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Ogos lalu, belum ada setakat ini mengenai peruntukan bagi ADUN pembangkang diumumkan oleh Aminuddin.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Perikatan Nasional (PN) menang di lima buah DUN iaitu Gemas, Labu, Serting, Bagan Pinang dan Paroi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya