MACHANG: Empat remaja berdepan detik cemas selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kampung Mengketil, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.18 petang itu, kesemua remaja berusia 16 tahun itu tersangkut pada sebatang pokok sebelum diselamatkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Balai Machang.
Difahamkan, kesemua remaja itu dihanyutkan arus semasa menahan pukat berhampiran lokasi kejadian.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mokhtar Che Mah berkata, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurusn menerima panggilan kecemasan berkait insiden berkenaan.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian anggota bertugas mendapati kesemua remaja itu tersangkut pada sebatang pokok selepas dihanyutkan arus deras sejauh 150 meter.
“Kita menggunakan tali untuk menyelamatkan semua mangsa yang terlibat. Kesemua remaja itu berjaya diselamatkan.
“Kesemua mereka kemudian diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mokhtar memberitahu, operasi menyelamat tamat pada pukul 5.51 petang tadi.-UTUSAN