Edar, miliki kanabis: Bekas pekerja hotel dipenjara 30 tahun, 12 kali sebat - Utusan Malaysia

Edar, miliki kanabis: Bekas pekerja hotel dipenjara 30 tahun, 12 kali sebat

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas pekerja sebuah hotel di daerah ini dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Seremban hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah pada April 2020.

Hakim, Datin Rohani Ismail membuat keputusan tersebut terhadap Ilham Utama Sawai Suardi, 29, selepas menimbang mitigasi yang dikemukakan pihak pembelaan dan hujahan faktor pemberatan yang dikemukakan pihak pendakwaan hari ini.

Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 6 Akta Berbahaya 1952, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dari tarikh dia ditangkap.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua dan ketiga iaitu di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh dijatuhkan 30 tahun penjara dan 12 kali sebatan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, hakim memerintahkan hukuman penjara dan sebat dijalankan serentak untuk kesemua pertuduhan tersebut.

Semalam dalam penghakimannya, Rohani mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa sebarang keraguan munasabah ke atas semua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, pada 12 April 2020, lebih kurang pukul 3.30 petang di kawasan tempat letak kereta Klana Resort di sini, tertuduh telah didapati memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 10.58 gram.

Oleh yang demikian, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Pada tarikh, waktu dan tempat yang sama, tertuduh juga telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 373.8 gram iaitu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Ilham Utama Sawai juga dituduh di bawah seksyen dan akta yang sama selepas didapati mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 560.34 gram pada 12 April 2020 pada pukul 4.15 petang di Taman Temiang Jaya di sini.

Kes telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ala’uddin Baharom manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN