PETALING JAYA: Rakyat kini sudah boleh melakukan permohonan untuk penebusan e-kredit tunai eMADANI sebanyak RM100 bermula hari ini sehingga 20 Februari tahun hadapan.
Masyarakat boleh memilih antara empat aplikasi e-dompet bagi melakukan permohonan tersebut iaitu antaranya Shopee, MAE Maybank, Touch N’ Go ataupun Setel Petronas.
Sehubungan itu rakyat boleh memuat turun aplikasi e-dompet pilihan dan mengikut arahan disediakan seperti melakukan verifikasi identiti lalu mengisi butiran diperlukan sebelum dihantar.
Bagaimanapun, masyarakat perlu memenuhi beberapa syarat untuk melakukan penebuhsan tersebut iaitu antaranya perlu berumur 21 tahun ke atas, merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan mempunyai pendapatan RM100,000 dan ke bawah setahun.
Penebusan e-kredit tunai eMadani yang berjaya perlu menunggu selama lima hari sebelum ia dikreditkan ke dalam e-dompet aplikasi yang dipilih.
Penerima turut perlu membelanjakan e-kredit tunai tersebut dalam jangka masa bermula hari ini sehingga 29 Februari depan dan hanya boleh digunakan untuk perbelanjaan fizikal sahaja.
Terdahulu, media melaporkan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi program berkenaan seperti diumumkan pada majlis peluncuran kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lalu.
Pada masa sama, kerajaan turut menegaskan nilai kredit eMADANI tidak boleh digunakan bagi pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai, ia hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui empat e-dompet tersebut di 1.8 juta peruncit atau perniagaan di seluruh negara.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), pihaknya tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan peer-to-peer atau penebusan tunai itu.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan berkenaan oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.
Malah, kerajaan juga akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima.- UTUSAN