DUN Negeri Sembilan lulus Belanjawan 2024 - Utusan Malaysia

DUN Negeri Sembilan lulus Belanjawan 2024

DUN Negeri Sembilan hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri Sembilan 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Belanjawan Negeri Sembilan 2024 yang dibentangkan pada 1 Disember lalu diluluskan sebulat suara pada hari ini selepas ia dibahaskan selama tiga hari oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini.

Belanjawan Negeri Sembilan 2024 yang bertemakan Bersama Membina Negeri Madani itu merupakan belanjawan defisit sebanyak RM35 juta dengan belanja mengurus pada tahun hadapan adalah sebanyak RM555 juta berbanding anggaran hasil berjumlah RM520 juta. 

Sebanyak RM140 juta pula diperuntukan bagi perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan ini juga yang pertama dibentangkan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan hasil gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini pada bulan Ogos lalu.

Ia telah disedia dan disesuaikan dengan Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang ditawarkan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu. 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam pada itu menjelaskan, semua pihak perlu mengambil maklum bahawa belanjawan yang telah dibentangkan tersebut melibatkan jumlah yang terhad.

“Tidak semua dapat kita buat, waima di kerajaan Persekutuan pun, tidak boleh untuk beri semua, namun apa yang ada itu kita berikan keutamaan kepada benar-benar memerlukan dan boleh mengatasi beberapa masalah, itu yang sebenarnya.

“Tetapi jika semua kata, apa yang diminta mesti lulus, apa yang kita cakap dalam Dewan (DUN) semua kita dapat, itu tidak pernah. sepanjang saya dalam Dewan ini, saya juga pernah memohon, tidak semua saya dapat.

“Saya dapat satu saya syukur, dapat dua juga syukur, apa yang penting adalah bagaimana kita melihat bahawa bajet ini dapat memberikan keutamaan kepada rakyat seluruhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada hari terakhir Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Sementara itu, pada sesi yang sama, Aminuddin yang juga ADUN Sikamat memaklumkan, kerajaan negeri bersedia membenarkan penerokaan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bermula tahun depan bagi membantu meningkatkan hasil negeri.

Sehubungan itu, jelasnya, satu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sedang dirangka Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan dengan mengambil contoh SOP dari negeri Perak yang dirangka oleh kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Dengan melibatkan pakar dalam bidang perlombongan dan pemuliharaan alam sekitar dari jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan, SOP tersebut merangkumi semua perundangan yang sedang berkuat kuasa seperti Akta Pembangunan Mineral 1994, Enakmen Mineral Negeri , Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

‘Sebarang perlombongan NR-REE juga tertakluk kepada kelulusan Penilaian Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar dan juga kelulusan skim pengendalian melombong oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan kerajaan negeri juga tidak menyokong sebarang aktiviti perlombongan termasuk NR-REE dijalankan di kawasan hutan simpan kekal, rizab perlindungan dan kawasan sensitif alam sekitar,” katanya,

Persidangan DUN Negeri Sembilan ditangguhkan tepat pukul 5 petang tadi ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya