Dua lelaki rugi lebih RM100,000, terpedaya pelaburan tidak wujud - Utusan Malaysia

Dua lelaki rugi lebih RM100,000, terpedaya pelaburan tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua orang lelaki di negeri ini mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila masing-masing terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud secara dalam talian, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, bagi kes pertama pihaknya telah menerima laporan daripada seorang pegawai khidmat pelanggan pada 1 Disember lalu yang mengalami kerugian kira-kira RM134,500 susulan sindiket penipuan berkenaan.

Menurutnya, mangsa telah berurusan melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang individu yang menawarkan pelaburan dengan modal permulaan sebanyak RM1,000.

“Mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak RM30,000 dalam masa beberapa jam. Selepas itu, mangsa diarahkan lagi untuk membuat beberapa kali pembayaran bagi proses menebus wang keuntungan sebanyak RM30,000 itu kepada tujuh ‘keldai akaun’ yang berbeza sehingga kerugian mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berlainan, satu laporan daripada seorang kontraktor kelmarin yang melibatkan kerugian berjumlah RM285,000.

Menurut Arifai, mangsa juga telah berurusan dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan pelaburan dengan modal permulaan RM30,000 dan dijanjikan keuntungan sebanyak 90 peratus dalam masa beberapa jam.

“Selepas itu mangsa disuruh lagi untuk membuat beberapa kali pembayaran bagi menerima keuntungan dan telah membuat pindahan wang sebanyak lima kali ke empat keldai akaun berbeza,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN