Dua kanak-kanak, ibu maut kemalangan di Lipis - Utusan Malaysia

Dua kanak-kanak, ibu maut kemalangan di Lipis

ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan tiga mangsa yang maut daripada kereta Perodua Alza yang remuk dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Dua kanak-kanak dan ibu maut dalam kemalangan jalan raya pada awal pagi melibatkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta di sini awal pagi hari ini.

Mangsa yang maut dalam kemalangan pukul 2.25 pagi hari ini, pemandu kereta jenis Perodua Alza, Nor Faizah Ridzuan, 34, beralamat di Berek Polis Kok Lanas Ketereh, Kelantan, manakala dua kanak-kanak merupakan seorang anak pemandu, Muhammad Hariz Adrian Mohd. Azman, 10, dan seorang lagi anak angkatnya, Muhammad Hafiy Azman Abdullah berusia tiga tahun.

Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepala dan dada, manakala pemandu lori, Wan Osman Wan Hussin tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, hasil siasatan awal dan keterangan saksi bebas di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta Perodua Alza dipandu Nor Faizah dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.

“Apabila tiba di tempat kejadian semasa melalui selekoh, tiba-tiba kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh oleh sebuah lori.

“Seterusnya kereta Perodua Alza diseret oleh lori berkenaan lalu merempuh besi penghadang jalan. Akibat kemalangan itu, pemandu serta dua penumpang belakang kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Menurut Azli, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari pemandu kereta Perodua Alza yang gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat selepas ujian saringan Covid-19 diperoleh. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ujarnya, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan selekoh dua lorong satu hala, ada garisan tengah berkembar sebagai pembahagi jalan, gelap tanpa lampu jalan, manakala keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya