Depan rumah jadi gaung lepas bunyi pokok patah, dentuman kuat - Penduduk - Utusan Malaysia

Depan rumah jadi gaung lepas bunyi pokok patah, dentuman kuat – Penduduk

Kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan Puchong selepas hujan lebat semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO /
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Seorang pesara swasta tidak menyangka bunyi pokok patah disusuli dentuman kuat rupanya kejadian tanah runtuh di hadapan rumahnya di di Taman Wawasan, Puchong di sini malam tadi.

Abd Rahim Md Ali, 72, ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia bersama tujuh ahli keluarga terdiri daripada isteri, seorang anak dan empat cucu berada di rumah yang dibelinya 23 tahun lalu.

Menurutnya, dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib sebelum terdengar bunyi pokok patah disusuli dentuman kuat.

Kejadian depan rumah penduduk yang terdepan gaung akibat tanah rumah.

“Saya menjenguk melalui tingkap bilik di tingkat atas kediaman dan nampak pokok tumbang lalu saya segera turun ke bawah sebelum isteri beritahu tanah runtuh.

“Saya buka pintu lihat hadapan rumah dah jadi gaung, kami sekeluarga terpaksa lari selamatkan diri melalui pintu belakang,” katanya di lokasi kejadian hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, sebanyak sembilan rumah terjejas dan empat kenderaan terjunam serta tertimbus dalam tanah runtuh.

Cerita lanjut, Abd Rahim berkata, dia turut mendengar jeritan beberapa jiran sebelah sebelum mereka sekeluarga keluar menyelamatkan diri.

LOKASI

Katanya, beberapa minit kemudian pasukan bomba dan polis tiba di lokasi sebelum mereka diarahkan mengosongkan rumah buat sementara, kerana bimbang berlaku runtuhan susulan.

Tambah Abd Rahim, keluarganya kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Saya tiada rumah lain nak pergi, inilah satu-satunya rumah saya dan saya harap pihak berkaitan dapat baik pulih runtuhan berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu, tinjauan mendapati kerja penyelenggaraan dan baik pulih di kawasan terjejas runtuhan sedang giat dijalankan.

Terdahulu. seramai 29 penghuni di sembilan rumah di Taman Wawasan, diarah berpindah sebagai langkah keselamatan kerana bimbang berlaku lagi pergerakan tanah.

Ketua Polis Daerah Serdang. Asisten Komisioner A A Anbalagan dilaporkan berkata, polis menerima laporan kejadian pukul  7.30 malam tadi susulan hujan lebat pada 5.45 petang sehingga 7.30 malam dan berlaku pergerakan tanah.

Beliau berkata, kejadian berkenaan turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya