DAP jangan melampaui batas - Abdul Halim - Utusan Malaysia

DAP jangan melampaui batas – Abdul Halim

ABDUL HALIM SULEIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pimpinan DAP diingatkan supaya tidak melampaui batas dengan campur tangan dalam urusan perundangan syariah umat Islam di negara ini.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, pemimpin DAP perlu menggunakan akal untuk berbicara dan bukannya mengikut nafsu untuk menjadi juara politik yang boleh menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam.

Beliau berkata, cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mahu kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam disifatkan sebagai melampau.

“Bagi umat Islam, kita tak perlukan pakar undang-undang daripada kalangan bukan Islam untuk nasihat atau bantu jawatankuasa dalam menggubal undang-undang syariah sebab orang Islam sendiri sudah ramai pakar dalam bidang ini.

“Orang Melayu dan umat Islam di negara ini tak perlukan campur tangan daripada bukan Islam, terutamanya daripada orang politik yang mewakili kaum lain. Hal ini kerana ia hanya akan memecah-belahkan perpaduan, keharmonian antara kaum dan menimbulkan kesangsian dalam kalangan umat Islam,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, Koo Ham menjelaskan, cadangan melantik pakar bukan Islam bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah seperti yang diperuntuk dalam Perlembagaan.

Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau mengingatkan pemimpin DAP supaya lebih berhati-hati demi menjaga hubungan utuh dalam Kerajaan Perpaduan dan membina kekuatan asal asas negara Malaysia berbilang kaum dan isu-isu sensitif seperti itu tidak perlu dibangkitkan lagi.

Katanya, biarpun UMNO diasak dan didesak untuk mengulas kesemua isu yang dimainkan oleh DAP sebelum ini, namun UMNO masih mampu menolak untuk memberikan sebarang komen atau kenyataan.

Jelasnya, sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO mengambil sikap tidak mahu mengulas isu dimainkan DAP terutamanya dalam soal Perdana Menteri bukan Melayu dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebelum ini, bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang cuba bangkitkan isu bukan Melayu boleh jadi PM, kalau ikutkan Perlembagaan. Selepas, itu Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai juga bangkitkan semula isu pilihan raya PBT yang perlu dilaksanakan semula.

“Dalam dua isu itu, UMNO masih boleh ambil sikap tak mahu ulas tindakan provokasi daripada pemimpin DAP kerana  kita mahu jaga hubungan antara parti dalam kerajaan hari ini. Tetapi Koo Ham bertindak melampaui batas dengan kenyataan beliau seperti mahu campur urusan agama Islam, kita tak boleh berdiam diri lagi,” tegasnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya