PETALING JAYA: Daftar Pemilih Tambahan Bulan November 2023 telah diperaku semalam (19 Disember 2023) dan diwarta hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, daftar pemilih tambahan itu kini dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini hingga 18 Januari depan.
Katanya, daftar pemilih tambahan itu mengandungi 39,137 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 November 2023 hingga 30 November 2023 yang didaftar secara automatik sebagai pemilih baharu.
Selain itu, katanya, seramai 4,477 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 564 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
“SPR menyeru kepada warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh dinyatakan dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam daftar pemilihan tambahan bulan November.
“Jika mereka mendapati namanya tidak disenarai dalam daftar pemilih tambahan itu, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
“Pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan Borang D,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN