KUALA LUMPUR: Cukai jualan 10 peratus terhadap barang bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian mulai 1 Januari depan hanya melibatkan barangan import dan bernilai RM500 ke bawah.
Menjelaskan perkara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, cukai yang dikenakan itu antara lain bagi meningkatkan daya saing produk tempatan justeru ia tidak akan memberi kesan kepada barangan jenama tempatan yang dibeli secara dalam talian.
Menurutnya, beliau sudah mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan berhubung perkara itu selepas ia hangat diperkatakan di media sosial.
“Apa yang penting untuk dijelaskan, ia hanya terpakai bagi produk import yang dijual secara dalam talian di Malaysia. Produk yang dihasilkan di dalam negara tidak terkesan. Jadi, saya harap ini dapat kurangkan salah faham dalam kalangan masyarakat tentang cukai tersebut.
“Kita boleh rujuk laman rasmi Jabatan Kastam untuk maklumat lebih terperinci dan dari semasa ke semasa. Kita akan pantau untuk pastikan adakah rakyat terutama penjual dan pembeli yang laksanakan transaksi dalam talian benar-benar faham mengapa ini dilaksanakan dan apa kategori produk yang terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program R.E.N.E.W: Reuse, Educate, Nurture, and Empower with Waste kerjasama iCEPS UiTM di Dataran Sri Angkasa Jaya, di sini hari ini.
DIBANGKITKAN
Fahmi berkata, pelaksanaan cukai tersebut pertama kali dibangkitkan dalam Belanjawan 2022 dan sepatutnya mula dilaksanakan pada April tahun ini.
“Tetapi, kerajaan telah putuskan akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2024 dan terpakai untuk produk-produk yang diimport dari luar negara bernilai RM500 ke bawah.
“Saya harap ini dapat mengurangkan salah faham dalam kalangan masyarakat tentang cukai tersebut. Orang ramai boleh rujuk laman sesawang rasmi Kastam untuk maklumat lebih terperinci,” katanya.
Terdahulu, JKDM mentakrifkan LVG sebagai semua barangan tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik, dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok yang dijual pada harga tidak melebihi RM500, dan dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.
Mereka yang menjual LVG di platform dalam talian atau mengendalikan pasaran dalam talian untuk penjualan dan pembelian LVG mesti mendaftar dengan JKDM jika jumlah nilai jualan LVG yang dibawa masuk ke Malaysia melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan. – UTUSAN