CIQ BSI bergelap, puluhan ribu pekerja terjejas - Utusan Malaysia

CIQ BSI bergelap, puluhan ribu pekerja terjejas

ORANG ramai berkongsi gambar dan pengalaman mereka ketika berada dalam sesak dan bergelap di bangunan CIQ BSI, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini menjejaskan perjalanan puluhan ribu rakyat Malaysia yang berulang-alik ke republik itu.

Gangguan bekalan elektrik itu dipercayai berlaku sejak pukul 8 malam tadi dan berlarutan sehingga 14 jam, namun kembali pulih pada 10 pagi tadi.

Menurut seorang pekerja Malaysia  yang bekerja dalam sektor pembersihan, Amalina Omar, 37, gangguan elektrik itu menyebabkan bangunan tersebut bergelap dan mengganggu perjalanan keluar masuk di Tambak Johor itu.

Disebabkan tiada bekalan elektrik, proses urusan pasport juga terpaksa dilakukan secara manual dan menyebabkan proses itu mengambil masa yang lebih lama.

“Malam tadi saya balik kerja dari Singapura kira-kira pukul 8.30 malam, keadaan di bangunan itu sudah bergelap. Pagi ini saya keluar lebih awal ke tempat kerja kerana bimbang bekalan elektrik masih belum pulih sehingga menyebabkan berlaku kesesakan, ia benar terjadi.

“Keadaan pada masa itu sangat sesak, ditambah pula dengan keadaan gelap dan panas, sangat tidak selesa. Kebiasaannya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk proses cop pasport secara online tapi hari ini sedikit luar biasa kerana terpaksa beratur hingga tiga jam untuk cop pasport,” katanya.

Amalina juga hairan bagaimana tiada penjana kuasa tambahan  disediakan bagi menjana tenaga elektrik di bangunan itu sehinggakan lif, tangga bergerak dan auto scan pasport tidak berfungsi.

Sementara itu, dalam laman  Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers, isu itu hangat diperkatakan apabila ramai warganet yang menyuarakan pengalaman mereka melalui tempoh sukar itu.

Ada yang berkongsi cerita terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk melepasi pemeriksaan imigresen dan ada juga memberitahu mereka terlewat ke tempat kerja, malah turut mengeluh kerana kaunter MBIKE yang beroperasi secara automatik juga terkesan.

Ada juga yang berseloroh kononnya meminta pegawai imigresen yang ditempatkan di kawasan itu untuk memeriksa bagasinya kerana dia mempunyai lampu suluh bagi tujuan itu.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya