Cadang jawatan Exco Kanan diwartakan - Utusan Malaysia

Cadang jawatan Exco Kanan diwartakan

SAIFUL Yazan Sulaiman sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023 pada hari kedua, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jawatan Exco Kanan yang terdapat dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dicadangkan untuk diwartakan secara rasmi dalam waktu yang terdekat.

Perkara berkenaan dicadangkan oleh Saiful Yazan Sulaiman (BN-Johol) pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023 pada hari kedua, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Menurut beliau, perkara tersebut sudah pasti dapat mengukuhkan lagi institusi pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.

“Untuk mengukuhkan lagi institusi pentadbiran kerajaan negeri, dicadangkan supaya jawatan Exco Kanan ini diwartakan secara rasmi dalam waktu yang terdekat.

“Ini membolehkan kerajaan negeri dapat ditadbir dengan baik sesuai dengan ilham Menteri Besar yang sentiasa berteraskan good governance and accountability,” katanya.

Saiful Yazan dalam pada itu berkata, Negeri Sembilan hari ini dilihat sebagai negeri contoh kepada acuan Kerajaan Perpaduan dalam mengetuai kerajaan Negeri.

Menurutnya, pengagihan jawatan-jawatan kepemimpinan masyarakat dibuat secara bijaksana dan harmoni di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Oleh yang demikian, kesepakatan tanpa batasan ini mestilah dipertingkatkan lagi. Sebagai contoh, jika jawatan Speaker DUN telah diberikan kepada rakan seperjuangan di PH, apalah salahnya jawatan Timbalan Speaker diberikan pula kepada BN serta sesuai dengan pelantikan Menteri Besar dari PH dan Exco Kanan pula dilantik dalam kalangan BN,” katanya.

Selain Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dilantik sebagai Menteri Besar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula dilantik sebagai Exco Kanan Kerajaan negeri.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menyaksikan daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di negeri ini, Pakatan Harapan (PH) menang di 17 kerusi manakala BN menang di 14 buah kerusi.

Ia sekali gus gabungan kerjasama kedua-dua parti itu menang di 31 buah kerusi dan seterusnya membentuk Kerajaan Perpaduan di  Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga. Lima buah kerusi lagi dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya