Bunuh warga asing: Seorang dibebas, tiga lagi termasuk doktor diarah bela diri - Utusan Malaysia

Bunuh warga asing: Seorang dibebas, tiga lagi termasuk doktor diarah bela diri

MOHD. Hafiz Abdul Kadar dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Seremban hari ini atas tuduhan membunuh seorang warga asing empat tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas peniaga kantin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Seremban hari ini atas tuduhan membunuh seorang warga asing empat tahun lalu.

Tiga lagi lelaki lain termasuk seorang doktor yang diturut dituduh bagi kes yang sama pula diarah membela diri.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim, Datuk Azizul Azmi Adnan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir sesi pendakwaan terhadap terhadap orang kena tuduh (OKT) ke empat iaitu Mohd. Hafiz Abdul Kadar, 37.

Hakim berkata, setelah menilai secara maksimum keterangan berkenaan orang kena tuduh (OKT) ke empat iaitu Mohd. Hafiz Abdul Kadar, 37, pihak pendakwaan tidak berjaya membentuk kes prima facie kepada tertuduh.

“Dengan ini dia dilepaskan dan dibebaskan. Buka gari, Mohd. Hafiz boleh keluar dari kandang tertuduh dan duduk di galeri. 

“Berkenaan ketiga-tiga tertuduh yang lain, Mahkamah mendapati kesemua elemen kesalahan bunuh terbukti secara prima facie atas dasar melangkaui apa-apa keraguan munasabah. Oleh itu, ketiga-tiga tertuduh dipanggil untuk membela diri. Berkenaan dengan elemen mens rea, saya dapati elemen termaktub Seksyen 300 (c) Kanun Keseksaan telah dibuktikan pihak pendakwaan.

“Liabiliti kesemua tertuduh dibentukkan kerana niat bersama mereka menurut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang dibuktikan secara inferens daripada keterangan mengikut keadaan,” kata Azizul Azmi.

Tiga tertuduh berkenaan, P. Vengadesvaran, 35; R.S. Sathya Deepan, 34, dan Dr. Dharma Danny Ferns, 36, melalui peguam masing-masing kemudiannya memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi serta boleh diperiksa balas.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama membunuh A. Angu, 30-an di kawasan kandang lembu berhampiran Taman Dawn di sini, antara pukul 9 malam sehingga 10.30 malam pada 16 Mac 2019.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Seramai 29 saksi dipanggil sepanjang perbiacaraan bermula pada akhir 2019.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hadi Hakimi Harun dan Alauddin Baharom.

Vengadesvaran merupakan bekas penjual ikan dan penjaga lembu diwakili peguam, Jaya Prakash Rao manakala Sathya Deepan yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus pemasaran dan Mohd. Hafiz diwakili Paul Krishnaraja serta Dr. Dharma diwakili Selvam Shanmurgam.

Hakim kemudiannya menetapkan pada 8 hingga 12 Januari 2024 tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN