Bunuh bapa sepupu, penganggur dipenjara 30 tahun, 12 sebatan

Bunuh bapa sepupu, penganggur dipenjara 30 tahun, 12 sebatan

ANGGOTA polis mengiringi Muhammad Azwan Zulkarnai (tengah) selepas didapati bersalah membunuh bapa sepupunya di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan keatas seorang penganggur selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh bapa sepupunya di Machang dekat sini, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Roslan Abu Bakar membuat keputusan itu pada akhir kes pembelaan dengan memerintahkan tertuduh, Muhammad Azwan Zulkarnai, 26, menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 4 September 2017.

Roslan dalam hujahannya berkata, keputusan itu diputuskan selepas mendengar dan meneliti hujahan oleh kedua-dua pihak selain mengambil kira beberapa faktor.

Menurutnya, faktor yang dipertimbangkan antaranya terdapat gangguan suara yang berterusan dialami tertuduh, latar belakangnya yang tiada bapa selain hanya dibesarkan oleh ibu.

“Saya turut mempertimbangkan kelakuan tertuduh sejak kecil dan senjata yang digunakannya adalah tidak dirancang dan ia ditemui ketika memecah masuk rumah mangsa. Faktor yang terakhir adalah kebergantungan tertuduh kepada dadah.

“Tertuduh kini berusia 26 tahun. Ketika insiden berlaku, tertuduh berusia 20 tahun. Jadi, saya berpendapat tertuduh masih mempunyai peluang untuk mengubah kesalahan yang dilakukan dan hukuman penjara lebih sesuai terhadapnya,” katanya.

Roslan memberitahu, sehubungan itu, mahkamah menetapkan hukuman penjara 30 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap dan 12 sebatan berdasarkan mitigasi yang dibuat peguam.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Azwan  didakwa melakukan pembunuhan terhadap Rosmadi Abdul Aziz, 49, di Kampung Kerilla, Temangan, dekat Machang kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 4 September 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam, Halim Ashgar.

Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) maut selepas ditembak anak sepupunya dalam kejadian di Kampung Kerilla, Temangan dekat Machang, enam tahun lalu.

Rosmadi yang cedera parah pada perut dan dada disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Temangan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN