Buaya muncul di Jeti Puteri Harbour, bimbangkan pengunjung - Utusan Malaysia

Buaya muncul di Jeti Puteri Harbour, bimbangkan pengunjung

TANGKAP layar rakaman menunjukkan seekor buaya muncul di Jeti Puteri Harbour, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kemunculan seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter di Puteri Harbour, di sini menggemparkan pengunjung di jeti berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan ramai di kawasan tumpuan pelancong itu.

Seorang pengunjung yang dikenali sebagai Maryam berkata, reptilia berkenaan dilihat berlegar-legar berhampiran bot yang diletakkan di  jeti tersebut, sekali gus menimbulkan kegusaran sama ada kawasan beriadah itu selamat dikunjungi, khususnya pada hujung minggu.

“Saya bersama keluarga kerap ke Puteri Harbour, meluangkan masa bersama-sama kerana di sini terdapat banyak tempat menarik dan sesuai melakukan aktiviti riadah.

“Namun selepas kehadiran buaya, kami  terpaksa mencari tempat lain yang lebih selamat untuk beriadah.

“Saya bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di kawasan itu, ia juga boleh menjejaskan mata pencarian para peniaga di kawasan itu,” katanya.

Kelmarin, tular rakaman video yang dikongsikan dalam laman sosial Instagram welovejohor menunjukkan kemunculan reptilia itu.

Terdapat pengunjung yang menyatakan bahawa pekerja di kawasan berkenaan mendakwa pernah menemukan dua ekor buaya di situ.

Justeru, Maryam berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pihak pengurusan Puteri Harbour mengambil tindakan drastik bagi memastikan kawasan itu selamat dikunjungi.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan negeri, Aminuddin Jamin mengesahkan pihaknya ada menerima aduan berkaitan kemunculan reptilia itu.

“Kami lakukan pemantauan berterusan bersama-sama pihak pengurusan kawasan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya