Bot nelayan asing ditahan dalam Op Naga Laut

Bot nelayan asing ditahan dalam Op Naga Laut

SEBUAH bot nelayan asing yang ditahan Maritim Malaysia dalam Op Naga di perairan Kuala Terengganu, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebuah bot nelayan Vietnam yang membawa hasil laut, minyak diesel dan peralatan menangkap ikan bernilai hampir RM1.5 juta dirampas menerusi Op Naga Laut, kelmarin.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Terengganu, Mohd. Khairulanuar Abd. Majid, empat kru turut ditahan dalam operasi pada jarak 133 batu nautika dari Kuala Terengganu itu.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia sebelum menyedari kehadiran anggota penguatkuasaan.

Menurutnya, sebelum tangkapan itu, sepasukan anggota peronda mengesan dua buah bot disyaki nelayan warga asing yang dipercayai menceroboh perairan negara.

“Kedua-dua buah bot yang mencurigakan itu dikesan ketika rondaan Op Naga Barat dan pada awalnya kita mengesyaki mereka sedang menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

“Hasil pemeriksaan terhadap salah satu bot menemukan empat kru warga Vietnam termasuk tekong yang kemudian ditahan namun sebuah lagi bot berjaya melarikan diri ke arah perairan sempadan negara.

“Nilai rampasan termasuk bot, 3.5 tan hasil tangkapan, 2,000 liter minyak diesel dan peralatan menangkap ikan berjumlah keseluruhan hampir RM1.5 juta,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambah beliau, empat orang nelayan Vietnam itu berusia antara 29 sehingga 61 tahun dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

Tegas Mohd. Khairulanuar, pihaknya akan tetap mempergiatkan rondaan dan pengawasan di perairan negara meskipun dalam keadaan cuaca tidak menentu serta laut bergelora ketika ini.

Menurut beliau, aset Maritim Malaysia Negeri Terengganu beroperasi seperti biasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang Malaysia tidak dicabul nelayan warga asing.

“Ini adalah tangkapan ke-37 sepanjang tahun ini dan Maritim Malaysia Negeri Terengganu tidak akan berhenti mengekang pencerobohan nelayan asing ke perairan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya