KUANTAN: Sebuah bilik membaca misteri mempunyai 107 buku bergenre seram disediakan di Menara Kuantan 188 di sini yang boleh dimasuki secara percuma oleh pengunjung menara ikonik itu sempena musim cuti sekolah kali ini.
Inisiatif julung kali itu merupakan kerjasama antara Menara Kuantan 188 dan Perbadanan Perpustakaan Awam Sultan Ahmad Shah (PPASAS).
Pengarah PPASAS, Nor Zahira Mohammad Azmi berkata, dengan tema misteri dan seram, inisiatif edu-tourism itu dapat dijadikan tarikan baharu bagi menerapkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
“Kita hanya bawa 107 buku bergenre seram untuk ditempatkan di bilik misteri disediakan pihak Menara 188, tapi kalau peminat buku berkunjung ke PPASAS, sebenarnya terdapat lebih 2,000 buku atau novel di sana.
“Kali ini kita pilih genre kisah seram dan misteri itu kerana ia menjadi daya tarikan kerana berunsurkan kejutan. Malah ia mempunyai peminatnya tersendiri dan kita harap dapat membantu menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Manara Kuantan 188 di sini hari ini.
Mou itu ditandatangani Nor Zahira manakala Kuantan 188 diwakili Pengurus Besarnya, Khalisa Azman.
Dalam pada itu, kata Nor Zahira, program berbentuk edu-tourism tersebut diadakan bermula hari ini dan berakhir 1 Januari depan.
Katanya, apabila pengunjung atau pelancong datang ke Menara 188, mereka boleh singgah dan memilih bahan bacaan disediakan.
“Kita nak menggalakkan anak-anak membaca di musim cuti sekolah ini. Di samping kita bercuti ada juga ilmu yang diperoleh… itulah yang kita nak dalam edu-tourism ini,” katanya.
Sementara itu, Khalisa berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan dalam usaha menggalakkan masyarakat minat membaca.
Katanya, program kerjasama edu-tourism antara PPASAS dan menara ikonik itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang. – UTUSAN