Berjaya bergelar graduan selepas 11 tahun - Utusan Malaysia

Berjaya bergelar graduan selepas 11 tahun

RAHMATUL Fikri Haidin gembira apabila berjaya bergelar graduan USIM walaupun selepas 11 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas 11 tahun, akhirnya seorang pembantu tukang masak bergelar graduan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini.

Rahmatul Fikri Haidin, 30, berjaya mengenggam segulung ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dengan kepujian pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-21, semalam, walaupun dia memulakan pengajian di universiti itu pada tahun 2012. 

“Sepatutnya saya bergraduasi selepas empat tahun, saya telah mengikuti semua subjek bagi program pengajian namun masih tidak melengkapkan syarat Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET). Bagaimanapun hati saya kembali terbuka apabila menerima panggilan daripada pihak universiti untuk membantu saya menamatkan pengajian. 

“Ketua Program Pentadbiran Muamalat, Dr. Nur Qamarina Sharom menghubungi saya untuk mengambil program Reach Out English for Employment Course yang akan melayakkan saya untuk bergraduasi. 

“Pada mulanya saya enggan kerana mahu menjalankan perniagaan sahaja, namun isteri saya yang juga alumni USIM meminta untuk saya mengambil kos jangka pendek itu yang hanya diadakan pada setiap hujung minggu secara dalam talian, selama 12 hari, jadi saya sahut semangatnya itu,” katanya ketika ditemui di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini.

Rahmatul Fikri yang merupakan bapa kepada tiga orang anak dalam pada itu memberitahu, dirinya kini lebih terarah untuk menjalankan perniagaan.

“Saya sebelum ini pernah menjual makanan takoyaki di Nilai selama empat tahun sebelum berhijrah ke Johor Bahru. Kini saya bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah restoran terkenal di Singapura dan mahu membuka sebuah restoran sendiri suatu hari nanti,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN