Bergantung mesin oksigen, tidak patahkan semangat Ashnawi genggam ijazah - Utusan Malaysia

Bergantung mesin oksigen, tidak patahkan semangat Ashnawi genggam ijazah

MUHAMMAD Ashnawi Azmi ketika ditemui selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-21 di Nilai, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun terpaksa bergantung kepada saluran mesin oksigen seawal usia dua tahun namun ia tidak menjadi penghalang buat Muhammad Ashnawi Azmi untuk mendapatkan segulung ijazah demi masa depannya.

Graduan berusia 27 tahun itu menerima Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dari Fakulti Syariah Undang-Undang pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Kali Ke-21 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai di sini hari ini

Muhammad Ashnawi yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor memberitahu, sejak usia dua tahun lagi dia terpaksa bergantung kepada saluran mesin oksigen akibat menghidap penyakit paru-paru kronik atau chronic obstructive pulmonary disease.

“Sehingga ke hari ini saya menggunakan mesin oksigen sepanjang masa bagi meneruskan kehidupan, walaupun begitu, ia tidak mematahkan semangat saya untuk berjuang menuntut ilmu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mengimbas kembali sepanjang tempoh pengajian, Muhammad Ashnawi berkata, dia pernah berhadapan dengan pelbagai dugaan termasuklah mengalami koma ketika tidur.

“Sebelum peperiksaan lalu, saya menghadapi situasi yang sama tetapi Alhamdulillah ia tidak berpanjangan dan saya dapat menduduki peperiksaan dengan sempurna,” katanya lagi.

Dalam pada itu, katanya, dia berpegang kepada prinsip untuk melakukan sesuatu yang diingini sehingga berjaya dicapai termasuk daripada segi cita-cita dan impian.

“Walaupun saya sedar kekurangan ada pada diri namun saya perlu kuat bagi menghadapi cabaran demi mencapai cita-cita dan impian diingini di samping meminta pertolongan daripada Allah SWT, “katanya.

Muhammad Ashnawi dalam itu memberitahu, dia kini sedang bertugas dalam bidang guaman.

“Ketika ini saya bekerja secara kontrak di sebuah syarikat guaman syarie di Putrajaya selepas pernah menjalani latihan industri di sebuah agensi bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Memang menjadi harapan saya untuk dapat menggunakan segala ilmu, kemahiran serta pengalaman diperoleh di universiti untuk membantu masyarakat pada masa depan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya