Belanjawan 2024 Pahang catat lebihan RM12 juta - Utusan Malaysia

Belanjawan 2024 Pahang catat lebihan RM12 juta

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) dalam sidang akhbar selepas Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15, di Wisma Sri Pahang, Kuantan. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Pahang 2024 yang merupakan belanjawan lebihan atau surplus sebanyak RM12 juta pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Belanjawan Negeri Pahang 2024 merupakan belanjawan pertama dibentang selepas pembentukan kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, bertemakan ‘Pahang Prihatin, Rakyat Makmur’.

Katanya, sasaran kutipan hasil 2024 sebanyak RM1.137 bilion ringgit dengan peningkatan lima peratus berbanding tahun ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah negeri ini.

“Terdapat lebih 10 inisiatif dan perkara baharu yang diketengahkan dalam belanjawan kali ini termasuklah Penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang di Lipis.

“Sebanyak RM2.21 juta diperuntukkan bagi penubuhan akademi ini yang berperanan sebagai pusat pembelajaran yang menawarkan program pendidikan dan latihan serta perkhidmatan teknikal berasaskan industri mineral.

“Akademi Mineral Malaysia Pahang merupakan salah satu komponen di bawah Cadangan Pembangunan Taman Teknologi Bersepadu Lipis (TTBL) dan akan menyumbang kepada penyelidikan dalam industri mineral bagi menghasilkan teknologi dan proses yang lebih cekap, inovatif dan mesra alam,” katanya dalam sidang akhbar pada Sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memilih Lipis sebagai daerah pembinaan akademi itu kerana kebanyakkan sumber mineral terdapat di Pahang Barat.

“Sebab buat di Lipis kerana mineral ini banyak di Pahang Barat yang mana senang untuk anak-anak yang belajar di akademi membuat amalan atau latihan praktikal di lokasi,” katanya.

Beliau memberitahu, selain akademi terbabit, kerajaan negeri berhasrat menyediakan Tabung Prihatin Pahang dengan peruntukan RM5 juta dalam Belanjawan Pahang 2024.

“Ia sebagai satu tabung kepada golongan kumpulan B40 yang memerlukan bantuan yang bersesuaian untuk meneruskan kelangsungan hidup serta untuk membiayai penyakit kronik.

“Ia merupakan tabung kecemasan untuk rakyat Pahang yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan bantuan segera tanpa perlu menunggu lama,” ujarnya.

Menyentuh tentang Tabung Palestin 2.0, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sudah mengutip lebih RM700,000 yang akan disalurkan secara terus kepada pihak Palestin tanpa menggunakan orang tengah.

Katanya, setakat ini, belum ada tempoh ditetapkan untuk menutup kutipan tabung yang menyasarkan kutipan RM1 juta terbabit.

“Sekiranya ia ditutup nanti dan wang kutipan tabung tersebut masih belum mencapai sasaran RM1 juta, kerajaan negeri akan tambah sehingga cukup RM1 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN