TAMPIN: Pasangan suami isteri juga pemilik klinik swasta di Gemas di sini yang sebelum ini merupakan penerima bantuan pelajaran zakat dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kini membantu pula agensi agama itu dengan memberi perkhidmatan berkhatan kepada anak-anak asnaf.
Dr. Muhammad Kamil Kamaruddin dan Dr. Nurul Sheila Fatin yang masing-masing berusia 31 tahun, sebelum ini menuntut di Universiti Ain Shams, Mesir dari tahun 2010 hingga 2016.
Dr. Nurul Sheila yang berasal dari Kampung Londah, Gemas di sini memberitahu, mereka mula membuka kliniksejak setahun lalu dan program mengkhatankan anak-anak asnaf berkenaan merupakan program pertama mereka bersama MAINS.
“Bantuan dari MAINS sangat membantu sepanjang tempoh pembelajaran kami di Mesir sebelum ini, kini kami terharu kerana menjadi klinik pilihan MAINS untuk bersama-sama menjayakan program ini.
“Kami berbesar hati menerima tanggungjawab ini dan dapat memudahkan urusan asnaf menerusi sumbangan tenaga dengan kepakaran yang kami ada bagi menjayakan program ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Program Khatan Perdana Anak-Anak Asnaf MAINS Cawangan Gemas di Klinik Zahra, Gemas di sini.
Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa turut hadir merasmikan program berkhatan itu yang disertai seramai 20 kanak-kanak berusia empat hingga 13 tahun.
Dalam pada itu, Dr. Nurul Sheila berterima kasih kepada semua penyumbang zakat di Negeri Sembilan dan berharap agar lebih ramai individu akan terus menunaikan kewajipan mereka itu.
Sementara itu, Pegawai MAINS Cawangan Gemas, Mohd. Khairi Ayub berkata, objektif program tersebut adalah bagi membantu meringankan beban asnaf untuk menanggung kos berkhatan anak-anak mereka.-UTUSAN.