BACHOK: Bekas pemandu bas ekspres yang kudung kaki kiri akibat kemalangan jalan raya pada 2018 lalu dan menghidap penyakit buah pinggang kronik tidak menjadikan kekurangan itu sebagai alasan sebaliknya gigih mencari rezeki untuk menyara keluarga.
Mohd. Azman Ali, 46, berkata, peringkat awalnya dia menyangka kehidupannya sudah gelap selepas hilang upaya untuk bekerja sekali gus menjejaskan punca pendapatan.
Menurutnya, semua itu berubah apabila pampasan yang diterima akibat kemalangan itu dijadikan sebagai modal perniagaan dalam bidang penternakan ikan, lembu dan kambing selain menjual makanan sejuk beku.
“Bagaimanapun, pada Februari lalu saya disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD) tahap 5 dan terpaksa menjalani rawatan hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu.
“Saya reda dengan ujian Allah dan akan terus menyara keluarga sebaik mungkin menggunakan segala kudrat yang ada,” katanya ditemui pemberita pada Program Cakna Prihatin Tabung Haji-Perkeso di Kampung Panjang Perupuk, di sini hari ini yang di sampaikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan Nora Yaacub.
Dalam lawatan itu, Mohd. Azman menerima mesin membuat kek, pengisar dan alatan lain untuk menjalankan perniagaan pembuatan makanan.
Sementara itu, Nora memberitahu, Mohd. Azman telah menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara berjumlah RM 41,511.13.
Katanya, pada masa sama Mohd. Azman telah dirujuk ke Jemaah Doktor Hilang Upaya Kekal dan mendapat peratus taksiran Hilang Upaya Kekal sebanyak 67 peratus.
“Mohd. Azman sudah menerima jumlah bayaran pukal sebanyak RM83,361.40 dan bayaran bulanan sebanyak RM1,608,” ujarnya.-UTUSAN