Bekas pekerja hotel didapati bersalah milik, edar 944.72 gram kanabis - Utusan Malaysia

Bekas pekerja hotel didapati bersalah milik, edar 944.72 gram kanabis

ILHAM Utama Sawai Suardi (baju putih) disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis kanabis seberat 944.72 gram pada 2020 di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas pekerja sebuah hotel di daerah ini didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah kanabis seberat 944.72 gram pada April 2020.

Hakim, Datin Rohani Ismail membuat keputusan tersebut terhadap Ilham Utama Sawai Suardi, 29, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa sebarang keraguan munasabah ke atas semua pertuduhan.

“Selepas membuat penilaian menyeluruh atas keseluruhan keterangan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, saya berpendapat pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes tanpa sebarang keraguan munasabah bagi ketiga-tiga pertuduhan terhadap tertuduh.

“Oleh yang demikian tertuduh didapati bersalah dan disabitkan ke atas ketiga-tiga pertuduhan,” kata Rohani ketika penghakiman di akhir kes pembelaan hari ini.

Hukuman ke atas tertuduh bagaimanapun hanya akan diputuskan esok selepas hakim membenarkan permohonan peguam bela tertuduh untuk membuat kajian dan menyediakan hujahan berikutan terdapat perkembangan mengenai hukuman bagi kesalahan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Ilham Utama Sawai pada 12 April 2020, lebih kurang pukul 3.30 petang di kawasan tempat letak kereta Klana Resort di sini telah didapati memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 10.58 gram.

Oleh yang demikian, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Pada tarikh, waktu dan tempat yang sama, tertuduh juga telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 373.8 gram iaitu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Ilham Utama Sawai juga dituduh di bawah seksyen dan akta yang sama selepas didapati mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 560.34 gram pada 12 April 2020 pada pukul 4.15 petang di Taman Temiang Jaya di sini.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ala’uddin Baharom manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN